PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam perjalanan yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri.
Beliau berkata, setiap kali musim perayaan jumlah kenderaan di jalan raya akan bertambah sekali gus meningkatkan risiko berlaku kemalangan.
“Syukur Alhamdulillah ramai yang memilih bergerak pulang ke kampung bermula hari ini untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.
“Bagaimanapun pesanan saya sentiasalah berhati-hati di jalan raya kerana tentunya kita mengerti maksud malang tidak berbau,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zahid berkata, perkara yang tidak diingini pasti dapat dielakkan jika pengguna mengamalkan pemanduan berhemah dan merancang perjalanan.
Dalam hantaran sama, Ahmad Zahid turut berkongsi tips perjalanan selamat yang boleh diamalkan orang ramai ketika memandu pulang ke kampung halaman.
“Tetapkan laluan mana untuk digunakan, masa untuk bergerak dan jangkaan masa tiba serta lokasi untuk mengisi petrol atau berehat sebentar jika perlu. Ini untuk mengelakkan kita memandu dalam keadaan tergesa-gesa.
“Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan termasuk enjin, tayar, brek, lampu isyarat dan lain-lain yang ‘essential’ untuk sebuah perjalanan yang selamat,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, selain itu, orang ramai disaran membuat ‘checklist’ barangan yang mahu dibawa bagi mengelak tertinggal, terutama perkakasan penting .
“Seandainya tertinggal barang tidak terlalu penting mungkin boleh diredakan sahaja untuk mengelak terpaksa berpatah balik.
“Sematkan dalam fikiran ‘tidak lari gunung dikejar’ bagi mendorong diri untuk sentiasa bersabar dan berhemah ketika menggunakan jalan raya.
“Pastikan diri telah mendapat rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Usah memaksa diri kerana keselamatan diri dan keluarga paling utama,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar membawa bekalan makanan sewajarnya jjka perlu berhenti untuk berbuka puasa semasa dalam perjalanan kerana ia secara tidak langsung dapat menjimatkan masa perjalanan.
“Islam mengajar umatnya untuk berdoa ketika bermusafir, maka bacalah doa yang telah diajarkan kerana kepada Allah SWT jua kita bertawakkal,” katanya.-Malaysiapost

