Influencer Melayu diingat henti promosi perkara haram – PPIM

0
3

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan tindakan seorang Youtuber terkenal yang didakwa sanggup ditaja dan mempromosikan sebuah syarikat perjudian, baru-baru ini.

PPIM juga mempersoalkan adakah individu terbabit masih ingat akan perbuatan halal atau haram?

“Baru-baru ini seorang YouTuber terkenal dikecam kerana sanggup ditaja dan mempromosikan sebuah syarikat perjudian. Adakah dia masih ingat akan halal haram?

“Perlu ambil berat tentang hal ini kerana rezeki dari sumber yang haram itu akan menjadi darah daging kita. Sebagai seorang YouTuber dan Influencer, dia sepatutnya lebih bijak memilih siapakah penaja.

“Dah tahu penaja dari syarikat perjudian, kenapa setuju untuk ambil syarikat judi sebagai penaja? Pilihan adalah di tangan kita sendiri,” kata PPIM menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Dalam hantaran berasingan, PPIM berkata biarpun telah difatwakan FOREX itu haram berdasarkan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia, namun masih ramai golongan ‘influencer’ Melayu ligat mempromosinya.

Menurutnya, banyak iklan mempamerkan wajah-wajah Melayu untuk menarik lebih ramai orang Muslim terlibat dengan FOREX.

“Ingatlah halal haram! Jangan hanya kita pentingkan kekayaan semata-mata. Tidak guna jika menjadi kaya, namun sumber rezeki adalah tidak berkat.

“Kepada influencer Melayu Islam, haruslah berhenti mempromosikan perkara haram kerana dikhuatiri akan menarik lebih ramai orang untuk terlibat sama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here