Lebaran kali ini amat meriah – PM

0
2

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa berbuka puasa bersama golongan petani, penternak dan nelayan, semalam.

Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, Ismail Sabri berkata golongan itu adalah amat dekat di hatinya.

“Mereka yang bersama-sama saya pada majlis berbuka puasa pada malam tadi adalah golongan Petani, Penternak dan Nelayan yang amat dekat dihati saya.

“Amat teruja menyambut mereka yang datang dari jauh. Rata-ratanya datang dari kawasan luar bandar seluruh negara,” katanya dalam hantaran itu.

Ismail Sabri berkata, Malaysia adalah bumi bertuah dan nikmat rezeki yang dikecapi kini adalah hasil tangan yang membanting tulang dan keringat yang diperah.

“Merekalah petani, penternak dan nelayan kita,” katanya.

Turut menceriakan suasana majlis tersebut adalah tetamu istimewa Perdana Menteri iaitu seramai 30 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Nur Ain Bangi Selangor.

Sementara itu, hari ini, Ismail Sabri berpeluang menemani 54 anak yatim dan asnaf di bawah tanggungannya, membeli baju raya di pusat beli- belah.

Ismail Sabri yang tidak kekok membahasakan diri sebagai ‘atuk’, menyapa mesra kesemua kanak-kanak terbabit yang juga anak angkatnya yang begitu teruja menanti kedatangan beliau seawal 9.30 pagi.

Jelas terpancar kegembiraan pada wajah mereka apabila diberi kebebasan memilih sendiri pakaian dan kasut, mengikut warna dan rekaan kegemaran masing-masing.

Katanya, aktiviti membawa anak angkatnya membeli baju raya, adalah rutin tahunan baginya menjelang Aidilfitri.

“Saya mahu gembirakan mereka untuk sambut Hari Raya.

“Walaupun tak jumpa selalu tapi saya pastikan setahun sekali saya kena jumpa mereka. Kalau ada majlis berbuka puasa, saya akan jemput mereka,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti itu diteruskan bagi membolehkan anak-anak yatim dan asnaf terbabit mengenalinya secara peribadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here