Tiada lagi penjarakkan fizikal di sekolah, guru boleh mengajar tanpa pelitup muka

0
2

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan guru tidak lagi perlu memakai pelitup muka ketika mengajar di dalam kelas.

Beliau berkata, pengumuman itu selaras dengan ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberi kelonggaran pemakaian pelitup muka di luar bangunan, bermula 1 Mei ini.

“Guru dibenarkan tidak memakai pelitup muka semasa mengajar di hadapan kelas, namun digalakkan memakainya ketika mengendalikan aktiviti di luar kelas.

“Bagi pelajar wajib memakai pelitup muka di ruangan tertutup premis sekolah, namun diberi kelonggaran ketika bersendirian dan semasa aktiviti sukan dan rekreasi,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Radzi menjelaskan, selaras dengan ketetapan KKM, tiada lagi penjarakkan fizikal di kawasan sekolah dan ini melibatkan susun atur semula kedudukan meja murid yang sebelum ini disusun dengan jarak satu meter antara satu sama lain.

“Ia juga melibatkan susun atur meja di kelas, jika sebelum ini ada guru merungut mengenainya, namun dengan ketetapan ini susun atur meja murid tidak perlu lagi dijarakkan satu meter.

“Namun perlu diingatkan, penjarakkan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka,” katanya.

Mengenai pelajar yang didapati bergejala ketika sesi persekolahan, Radzi menjelaskan pelajar itu perlu menjalani ujian kendiri bagi mengesahkan status kesihatannya.

“Jika didapati negatif, pelajar itu boleh meneruskan sesi persekolahan namun diwajibkan memakai pelitup muka setiap masa.

“Jika positif, pelajar itu perlu diisolasikan atau dijemput ibu bapa mereka pulang ke rumah,” katanya.

Manakala, bagi guru yang didapati bergejala, Radzi berkata, ianya sama seperti yang perlu dilalui oleh pelajar yang bergejala.

“Guru perlu buat ujian kendiri, jika negatif dia dibenarkan mengajar tetapi wajib memakai pelitup muka setiap masa.

“Jika positif, guru kena beritahu pentadbir untuk rekod dan perlu jalani HSO yang ditetapkan KKM,” katanya.

Sementara itu, kementerian juga membenarkan pertandingan peringkat sekolah atau di antara sekolah dilaksanakan semula seperti sebelum era pandemik Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here