Kadar vaksinasi kanak-kanak masih rendah – KJ

0
2

KADAR vaksinasi kanak-kanak yang masih lagi rendah menjelang tarikh tutup pada 15 Mei ini amat membimbangkan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, dari Oktober 2021 hingga April 2022, sebanyak 245 kes Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem pada Kanak-Kanak atau Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) akibat jangkitan Covid-19 dilaporkan.

“Dua hari lepas kita juga menerima perkhabaran melalui laman media sosial Ketua Pengarah Kesihatan mengenai seorang kanak-kanak berumur 11 tahun yang mengalami MIS-C selepas dijangkiti Covid-19 dan telah meninggal dunia.

“Beliau tidak menerima vaksin Covid-19. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah.

“Semoga kejadian ini menjadi iktibar dan pendorong kepada ibu bapa lain untuk segera mendapatkan vaksin Covid-19 bagi anak-anak mereka yang layak,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menggesa ibu bapa atau penjaga agar segera membawa anak untuk mendapatkan vaksin Covid-19 serta memastikan warga emas dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti mengambil dos penggalak.

Khairy juga mengingatkan orang ramai agar memastikan sambutan perayaan Aidilfitri kali ini tidak berakhir dengan kemudaratan walaupun pelbagai kelonggaran dan kebebasan diberikan kerajaan dalam Fasa Peralihan ke Endemik.

“Aidilfitri kali ini adalah satu rahmat untuk kita raikan bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai selepas dua tahun kita memerangi pandemik Covid-19.

“Oleh itu dalam Fasa Peralihan ke Endemik ini, menjadi tanggungjawab kita untuk pastikan perayaan ini tidak berakhir dengan kemudaratan.

“Kebebasan ini bukanlah bermakna kita telah menang dalam peperangan melawan COVID-19 dan kita kena pastikan perayaan ini tidak berakhir dengan kemudaratan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here