KERAJAAN Johor hari ini melancarkan Bantuan Beras Bangsa Johor dengan setiap rumah di negeri itu akan menerima sumbangan 10 kilogram (kg) beras.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata inisiatif berkenaan merupakan salah satu Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Menerusi inisiatif ini, sebanyak 10 kilogram beras akan diedarkan kepada setiap rumah di negeri Johor secara berperingkat-peringkat bermula 27 April 2022 hingga 31 Mei 2022.
“Penyerahan Bantuan Beras Bangsa Johor Fasa 1 ini melibatkan sebanyak 172,500 kampit beras dan dilancarkan secara serentak oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan di kawasan DUN masing-masing,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, bantuan itu akan diselaraskan oleh Pejabat Daerah serta diagih-agihkan oleh ADUN dan Penyelaras DUN masing-masing.
BACA LAGI: Sultan Ibrahim mahu Johor pro-aktif dam pembangunan kenderaan elektrik
Katanya, secara keseluruhan, sejumlah 903,136 ketua isi rumah akan menerima bantuan tersebut di seluruh Johor.
“Penyerahan baki bantuan beras ini akan dilakukan selepas sambutan Aidilfitri.
“Bantuan ini merupakan salah satu langkah proaktif, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan negeri bagi meringankan sedikit bebanan hidup rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan jabatan yang terlibat dalam menjayakan inisiatif itu.
“Dengan berkat komitmen dan kerjasama yang diberikan, inisiatif Bantuan Beras Bangsa Johor ini berjaya direalisasikan.
“Semoga semua usaha dan amal kebajikan yang kita lakukan diberkati dan dirahmati Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost



