PEGAWAI polis wanita yang tular di media sosial selepas membuat video secara langsung di aplikasi TikToknya ketika serbuan di sebuah pusat hiburan baru-baru ini, telah ditukarkan.
Pegawai kanan berpangkat Asisten Superintendan (ASP) itu, difahamkaan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain mengesahkan arahan pertukaran pegawai kanan itu.
“Betul, dia ditukarkan ke IPK Johor dan perlu melaporkan diri pada hujung bulan Mei depan,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Pegawai itu yang sedang bertugas sebagai ASP Operasi Urusetia, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ditukarkan ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Johor dengan menyandang tugas sebagai ASP Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Sebelum ini, pegawai wanita yang bertugas di JSJN Bukit Aman dikritik warga netizen susulan tindakannya itu, baru-baru ini.
Dalam video TikTok berdurasi satu minit 38 saat itu wanita berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menerangkan tanggungjawab kerja ketika menjalankan serbuan serta pemeriksaan.
Susulan itu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan tegas akan menyusul ke atas pegawai kanan itu sambil memberi jaminannya pihaknya tidak akan ‘memilih bulu’, pangkat atau bertolak ansur dalam soal tersebut. – Malaysiapost

