KJ dijangka umum kelonggaran pemakaian pelitup muka hari ini

0
3

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin dijangka mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berhubung pandemik Covid-19, termasuk ketetapan mengenai pemakaian pelitup muka di tempat awam, hari ini.

Selain itu, beberapa penambahbaikan SOP lain dijangka turut akan diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk penggunaan imbasan MySejahtera serta ujian pengesanan Covid-19 di lapangan terbang.

Difahamkan, spekulasi berhubung kelonggaran pemakaian pelitup muka di tempat awam yang diwajibkan sejak 1 Ogos 2020, semakin ‘jelas’ selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin memberi bayangan mengenai perkara itu, minggu lalu.

Sebelum ini, Khairy menjelaskan perancangan KKM berhubung beberapa kelonggaran SOP itu juga sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pengumuman hari ini, KKM dijangka akan memberi kelonggaran dan pilihan kepada orang ramai untuk kekal mengenakan pelitup muka atau sebaliknya di tempat awam, selain ia tidak lagi menjadi SOP mandatori seperti sebelum ini.

Namun, difahamkan, KKM akan mengekalkan keperluan jarak selamat satu meter antara kumpulan bagi mengurangkan penularan jangkitan ketika pelitup muka tidak dipakai.

Bagaimanapun, SOP pemakaian pelitup muka di dalam bangunan dan tempat tertutup dengan ruang pengudaraan terhad dijangka akan dikekalkan.

Difahamkan, kelonggaran itu dibuat susulan kejayaan pengurusan pandemik dilaksanakan kerajaan, selain risiko jangkitan Covid-19 ketika semakin terkawal dan kemasukan pesakit ke hospital menurun.

Sementara itu, Khairy juga dijangka akan mengumumkan ketetapan tidak lagi mewajibkan individu mengimbas kod QR MySejahtera untuk daftar masuk atau sebaliknya di mana-mana lokasi dan premis.

Ia selaras dengan pendirian kerajaan yang hanya akan membuat keputusan itu selepas melihat data mobiliti penduduk dan pengembaraan serta kadar jangkitan Covid-19 terlebih dahulu, susulan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu.

Sebelum ini, Khairy memaklumkan kadar kematian Covid-19 di negara ini terus menurun dan kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU) juga menurun.

Justeru, katanya, faktor itu meyakinkan kerajaan untuk memberi segala kelonggaran termasuklah untuk sambutan Aidilfitri.

Namun, beliau mengingatkan rakyat bahawa negara masih berada di dalam fasa peralihan dan perlu sentiasa mematuhi SOP dan langkah-langkah kesihatan awam sepertimana yang dijalani selama dua tahun.

Beliau juga turut mengingatkan semua pihak agar tidak leka dan mengambil iktibar daripada negara lain.

“Ada negara anggap bahawa mereka sudah mencapai kemenangan dan segala sekatan serta langkah pencegahan di buang. Akhirnya mereka berdepan gelombang demi gelombang jangkitan baharu.

“Biarlah kita lambat sedikit asalkan kita selamat dan janganlah kita mengulangi kesilapan dari negara lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here