Pelaksanaan fortifikasi zat besi dan asid folik secara mandatori dibincangkan lebih lanjut – KJ

0
2

CADANGAN pelaksanaan fortifikasi zat besi dan asid folik ke dalam tepung gandum 25 kilogram (kg) dan ke bawah secara mandatori akan dibincangkan lebih lanjut oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama pemegang taruh yang berkaitan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata dalam masa sama KKM juga akan meminda Peraturan-Peraturan Makanan 1985 bagi pelaksanaan fortifikasi berkenaan.

Beliau berkata, Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet pada 20 April lalu telah bersetuju dengan cadangan melaksanakan fortifikasi berkenaan.

Menurutnya, ia bagi memastikan paras zat besi dan asid folik dalam tepung gandum selaras dengan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu 6.0 miligram (mg) bagi zat besi dan 260 mikrogram bagi asid folik dalam setiap 100 gram (g) tepung gandum.

“Usul ini merupakan satu intervensi kesihatan awam yang berkesan dan menyeluruh selari dengan saranan WHO dalam usaha untuk meningkatkan pengambilan zat besi dan asid folik dikalangan masyarakat.

“Kekurangan zat besi dan asid folik boleh menyebabkan masalah kecacatan dalam kalangan bayi seperti ‘Neural Tube Defect’ (NTD) dan Anemia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, NTD adalah masalah pembentukan dan tumbesaran saraf bayi, manakala Amenia pula adalah keadaan kepekatan hemoglobin (Hb) dalam sel darah merah adalah rendah.

“Pelaksanaan fortifikasi zat besi dan asid folik secara mandatori ke dalam tepung gandum ini juga dapat meningkatkan kualiti nutrien produk makanan yang dihadilkan oleh industri makanan kecil dan sederhana seperti roti, mi basah, roti canai dan kuih muih.

“Ia sekaligus membuka ruang lebih luas bagi rakyat Malaysia untuk mendapat akses kepada makanan berkhasiat di pasaran. Ini diharap dapat meningkatkan status pemakanan dan Kesihatan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan fortifikasi ini bukan hanya memberi faedah kepada kesihatan tetapi juga tidak akan membebankan rakyat dari segi harga. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here