Aliff Syukri mohon maaf, minta jangan libatkan keluarga, ibu

0
3

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman hari ini memohon maaf kepada semua penonton yang tersinggung dengan video lagu raya terbaharunya.

Beliau juga meminta orang ramai tidak melibatkan keluarga termasuk ibunya, Rozita Ibrahim dalam kontroversi berkenaan.

“Saya mohon maaf kepada semua masyarakat yang tersinggung dengan tingkah laku saya, saya nak minta maaf banyak-banyak.

“Mohon jangan libatkan keluarga saya, ibu saya yang sedang menjalankan ibadah umrah,” katanya seperti dilapor Malaysiagazette.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai memberi keterangan hampir lima jam kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) , hari ini.

Aliff dilihat keluar dari premis SKMM tepat jam 2.40 petang setelah memasuki pejabat itu jam 9.58 pagi tadi.

Ahli perniagaan itu berkata, beliau telah memberi kerjasama yang baik kepada SKMM dan kini pihak terbabit sedang membuat siasatan isu tersebut.

“Biarlah SKMM yang jalankan siasatan, jangan salahkan isteri saya, ibu saya. Bagi saya biarlah SKMM siasat dan saya sudah berikan kerjasama,” katanya.

Aliff dipanggil SKMM selepas satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video yang memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut dengan tarian mencolok mata. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here