Aliff Syukri belum ‘jawab’ pelawaan jumpa Menteri Agama

0
3
https://malaysiapost.com.my/2022/04/26/aliff-syukri-tiba-di-skmm-bantu-siasatan-klip-video-aidilfitri/

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad mengesahkan masih belum menerima maklum balas daripada Datuk Seri Aliff Syukri untuk mengadakan pertemuaan dengan usahawan kosmetik berkenaan.

Idris berkata, semalam beliau menjemput Aliff Syukri melalui media untuk bertemu bagi menjalin ukhuwah, berkongsi dan berbincang dalam pelbagai perkara termasuk membabitkan isu klip video muziknya sempena Aidilfitri yang menimbulkan kontroversi, baru-baru ini.

“Namun, setakat ini saya belum menerima maklum balas daripada usahawan kosmetik itu lagi,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Mashaf al-Quran Braille Malaysia Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M, hari ini.

Dalam pada itu, Idris berkata, seseorang yang dianugerahkan rupa paras yang cantik dan bakat seni daripada Allah SWT sepatutnya menggunakan manfaat itu untuk kebaikan diri mereka.

BACA LAGI: Aliff Syukri tiba di SKMM bantu siasatan klip video Aidilfitri

“Sebagai saudara seagama saya ingin nasihatkan, syurga dijadikan Allah bukan untuk ustaz, ustazah dan tok guru namun untuk golongan yang bertakwa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya banyak menerima luahan rasa tidak puas hati daripada netizen menyatakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak serius dalam menangani isu berkenaan.

Menurut Idris, pihaknya dari awal lagi sudah mendapatkan maklumat dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berhubung video kontroversi berkenaan.

Katanya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan K-KOMM apabila berlaku kes seumpama terbabit memandangkan bidang kuasa JAKIM terhad.

Mengulas mengenai isu pakej taubat seperti yang dilaporkan media baru-baru ini, beliau berkata, ia berpunca daripada kejahilan individu mengenai agama dan kesempatan itu diambil oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk perniagaan mereka.

“Sekiranya kita pandai dalam bidang agama, taubat kepada Allah tidak perlu bayar tol dan gunakan orang perantaraan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here