Aiman Hanif
KETIKA majoriti pelanggan Maybank terkejut apabila baki akaun simpanan mereka menunjukkan angka kosong hari ini, pendakwah bebas, Ahmad Husam Baderudin mengajak orang ramai supaya bermuhasabah.
Katanya, bagaimana di akhirat kelak jika kantung amalan menunjukkan angka kosong kerana kelalaian melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT ketika di dunia.
‘Hari ini ramai pengguna sebuah bank di Malaysia terkejut besar apabila melihat baki akaun di dalam simpanan mereka kosong akibat sedikit ganguan teknikal.
“Ya lah, siapa tak terkejut kan? Simpanan yang selama ini kita buat hendak diguna tiba-tiba kosong.
“Cuba bayang, bagaimana situasi kita di akhirat kelak apabila kantung amal soleh kita yang kita kumpul di dunia ini kosong akibat salah silap kita sesama manusia sewaktu hidup di dunia ini tidak selesai. Dosa kita fitnah, zalim dan sebagainya.
BACA LAGI: Pelanggan Maybank panik, baki akaun tinggal kosong
“Bagaimana perasaan kita waktu Itu? Kaunter aduan mana yang kita hendak buat aduan ketika itu? Fikir dan renungkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Terdahulu pagi tadi, pelanggan Maybank terkejut apabila menyemak baki akaun mereka menunjukkan angka kosong.
Ia berlaku ekoran masalah teknikal yang dihadapi oleh bank berkenaan khususnya membabitkan sistem dalam talian.
Maybank menerusi Facebooknya petang tadi memaklumkan semua aplikasi perbankan dalam taliannya sedang mengalami pengaksesan yang perlahan ketika ini.
Maybank turut memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pelanggan dan pihaknya sedang menyelesaikan isu ini dengan secepat mungkin.- Malaysiapost

