DAP mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghentikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang parti itu sifatkan sebagai siasatan palsu dan berunsurkan politik.
Pengerusinya, Lim Guan Eng juga mempersoalkan sama ada tindakan SPRM yang giat menjalankan siasatan palsu itu adalah bagi membolehkan perasuah melepaskan diri tanpa dihukum, namun menghukum orang yang jujur dan lurus.
Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa, SPRM terkenal dengan tindakan memulakan dan menghentikan siasatan dengan membenarkan agensi kerajaan dan pemimpin politik termasuk Menteri, melepaskan diri tanpa dihukum.
“Sambil menumpukan perhatian kepada mereka yang enggan sama ada patuh pada kerajaan atau mengkhianati mandat rakyat dengan berpaling tadah untuk menyokong kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, walaupun SPRM menfailkan kes-kes rasuah yang jelas di mahkamah, pertuduhan sedemikian boleh ditarik balik yang nampak seperti membenarkan rasuah.
BACA LAGI: Pemuda Amanah gesa penyiasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan dihentikan
“Ini berikutan keputusan SPRM baru-baru ini untuk menggugurkan dan tidak meneruskan 146 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM32.93 juta terhadap seorang bekas timbalan pengarah Jabatan Air Sabah sebagai pertukaran dengan membayar kompaun sebanyak RM30 juta.
“Ramai tertanya-tanya logik, akauntabiliti dan moral atau etika awam di sebalik kes pengubahan wang haram untuk hampir RM33 juta diselesaikan dengan RM30 juta.
“Bukankah SPRM juga sepatutnya mempersoalkan kemampuan untuk membayar kompaun RM30 juta oleh seorang bekas penjawat awam?” soalnya.
Guan Eng berkata, siasatan terbaharu SPRM terhadap Mohd Nazlan atas dakwaan kekayaan tidak dapat dijelaskan tanpa sebarang bukti berjumlah RM1 juta yang didakwa oleh pembohong tegar Raja Petra Kamaruddin.
“Amat berbeza dengan kurangnya semangat dan tenaga SPRM dalam menyiasat kekayaan tidak dapat dijelaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang telah disahkan.
“Fakta bahawa ini adalah hakim yang sama yang mensabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan tiada tindakan segera diambil oleh SPRM terhadap RPK untuk memeriksa kebenaran dakwaan ini,
“Ini menimbulkan kebimbangan tentang campur tangan yang tidak diingini oleh SPRM dan kepentingan pihak tertentu,” katanya.
Beliau mendakwa, terdapat dua darjat yang jelas, berat sebelah terpilih, sikap tidak profesional dan juga salah guna kuasa apabila Azam boleh melancarkan siasatan segera ke atas Mohd Nazlan tetapi bukan terhadap kes yang dihadapinya sendiri.
“Keadilan tidak ditegakkan dalam kes-kes ini. Tiada pemimpin kerajaan bersuara menentang dua darjat yang diterapkan SPRM, terutama bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa sebagai penjaga terhadap kembalinya kleptokrat berkuasa.
“Kenapa Muhyiddin masih berdiam diri?” soalnya lagi. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Lim Guan Eng

