BEKAS Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tidak pernah menunding jari kepada mana-mana individu di dalam parti itu berhubung kenyataannya di media sosial, baru- baru ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata sebaliknya kenyataan umum beliau di Facebook terus dijadikan polemik serta serangan bersifat peribadi oleh individu berkenaan.
Katanya, beliau memahami keadaan itu kerana ia jelas datang daripada kelompok yang ‘berpuak’ serta ketara dalam politik hari ini.
“Seingatan saya, ‘posting’ FB saya tidak pun merujuk mana mana individu. Saya memilih meluah pendapat secara umum.
“Namun banyak juga laporan dan portal yang mengaitkan secara langsung dengan individu-individu tertentu.
BACA LAGI: Zahid suruh Annuar insaf, buka ruang komen FB
“Ada juga individu yang mengandaikan merekalah yang saya maksudkan. Kenyataan umum terus dijadikan polemik untuk serangan bersifat peribadi,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau memilih untuk tidak terus mengeruhkan keadaan sesuai dengan situasi bulan Ramadan.
“Apa lagi bagi yang memilih berkhidmat kepada individu sebagai ‘profession’ mereka. Itu pun kita boleh memahaminya.
“Insyaallah, sesuai dengan Ramadan dan situasi semasa, saya tidak akan terserat ke arah pertikaian personaliti. Sekurang kurangnya bukan masa ini. Masa kita merapatkan silaturrahim, bermaaf maafan dan melebihkan amal ibadat,” katanya.
Annuar berkata, apa yang lebih penting ialah keutamaan meningkatkan solidariti, melaksanakan ketetapan selain kesiapsiagaan parti menghadapi ancaman parti yang bersaing.
“Insyaallah, Umno akan terus kukuh dengan adanya pemikiran dan tindakan yang jujur dan ikhlas kerana sebuah perjuangan,” katanya.
Terdahulu dalam kenyataan semalam, Annuar membidas ahli Umno yang sering mempertikaikan kesetian ahli Umno yang lain terhadap parti.
Menurutnya, rasa curiga yang ditanam dalam kalangan ahli parti sendiri terhadap rakan dalam parti boleh menyebabkan Umno menjadi lemah. – Malaysiapost

