Zahid suruh Annuar insaf, buka ruang komen FB

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan Tan Sri Annuar Musa untuk membuka ruangan komen pada hantaran Facebook miliknya.

Ahmad Zahid berkata, bekas Setiausaha Agung Umno itu sepatutnya menerima saranan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil agar sentiasa terbuka untuk dikritik.

“Hanya jauhari mengenal manikam. Pencerahan dari pemimpin akar umbi Umno. Berhujah berdasarkan fakta dan kenyataan sebenar.

“Harap selepas ini ada keinsafan dengan membuka ruangan komen sebagaimana saranan Isham Jalil,” katanya di Facebook miliknya hari ini.

Ahmad Zahid turut berkongsi kenyataan Isham Jalil yang membidas Annuar yang sebelum itu memperlekehkan kewibawaan beliau sebagai Ketua Penerangan BN Selangor.

Sementara itu, Isham Jalil dalam hantaran di Facebooknya mengecam Annuar yang mendakwa beliau tidak layak membuat kenyataan mengkritik ahli parti berikutan tiada apa-apa jawatan penting di peringkat bahagian mahu pun pusat.

“Pagi tadi Menteri Komunikasi Annuar Musa berlagak lagi, dia kata yang orang-orang yang bukan ketua cawangan (macam saya) tidak boleh buat kenyataan kononnya macam ketua parti.

“Masalah dengan Annuar ini, bila ketua parti (Presiden) cakap pun dia sanggah dan tidak boleh terima, seolah-olah dia lebih tinggi dari ketua parti, dia juga pernah kata dia ‘lebih senior dari Presiden parti’.

“Saya lihat Presiden parti yang dia ikut bukanlah presiden parti kita (Umno) tetapi presiden parti lain.

“Dia suka perlekeh orang dan dia pernah kata saya pernah kalah di pemilihan Umno dan saya bukan ketua cawangan. Betul, tetapi dia pun pernah kalah di pemilihan Timbalan Presiden dan semasa dia bertanding Ketua Pemuda dahulu, tetapi itu dia tidak cakap, mungkin dia malu,” katanya.

Terdahulu, nama Annuar kembali hangat diperkatakan minggu ini susulan tindakannya menyifatkan PASLeaks adalah dokumen kosong dan tidak boleh digunakan untuk menentukan pendirian PAS terhadap Umno.

Dalam kenyataan semalam, Annuar juga membidas ahli Umno yang sering mempertikaikan kesetian ahli Umno yang lain terhadap parti.

Menurutnya, rasa curiga yang ditanam dalam kalangan ahli parti sendiri terhadap rakan dalam parti boleh menyebabkan Umno menjadi lemah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here