Peluncur udara maut : Tapak Sukan Udara KKB diarah tutup 3 minggu

0
2

Pihak Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) mengarahkan penutupan Tapak Sukan Udara Kuala Kubu Bharu selama tiga minggu berhubung insiden kemalangan maut melibatkan seorang peluncur udara (paragliding) ketika melakukan aktiviti luncur udara, semalam.

Presidennya, Mohd Nurhaqimy Mohd Ismail, berkata arahan terbabit dikeluarkan bagi memberi ruang kepada pemurnian semula prosedur operasi standard (SOP) pusat sukan tersebut agar kejadian seperti itu tidak berulang.

“Siasatan awal oleh pasukan siasatan khas MSAF mendapati ketika kejadian cuaca berada dalam keadaan baik dan peralatan sukan luncur udara yang digunakan juga diselenggara serta berada dalam keadaan memuaskan.

“Bagaimanapun, pasukan siasatan khas MSAF mendapati terdapat ruang penambahbaikan terutamanya daripada sudut SOP di tapak sukan dan tindak cepat dalam usaha menyelamat pemain luncur udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nurhaqimy berkata, MSAF juga mengucapkan takziah kepada keluarga Dr Muhammad Fahad Khalid, 44, yang maut dalam insiden tersebut.

Katanya, mangsa, warganegara Pakistan merupakan pemegang lesen Juruterbang Lanjutan (PL2) berdaftar dan diperakui oleh MSAF serta mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 200 kali penerbangan sejak mula aktif pada tahun 2020.

“Pihak MSAF turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak penduduk sekitar, pemain sukan luncur udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua pihak yang membantu dalam usaha menyelamatkan mangsa,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki maut selepas mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah ditemukan tersangkut di pokok balak pada ketinggian 12 meter (m) di tepi cerun bukit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here