JIKA mahu mengkritik, perlu lebih terbuka untuk dikritik, demikian kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil.
Dalam satu hantaran di Facebook miliknya, teguran Isham itu dipercayai dituju kepada Tan Sri Annuar Musa agar lebih terbuka untuk dikritik dengan menerima hakikat kritikan politik adalah perkara biasa.
“Nasihat saya, jika mahu mengkritik, perlu lebih terbuka untuk dikritik. Kritikan politik adalah perkara biasa, ia bukan satu hala. Salam,” katanya.
Menurut Isham, tindakan Annuar menutup ruangan komen pada satu hantaran di Facebook miliknya hari ini akan menunjukkan kelemahan kepada Annuar sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.
“Ada orang itu jadi Menteri Komunikasi. Dia suka kutuk orang. Tapi bila dia post dalam Facebook, ruangan komen pun dia tutup dan hanya buka untuk kawan-kawan baik dia sahaja untuk komen dan puji atau up dia.
“Bila dia kutuk orang dia seronok, tapi bila dia kena kritik dia koyak rabak. Macam manalah jadi Menteri Komunikasi tapi takut untuk berkomunikasi,” sindirnya.
Nama Annuar kembali hangat diperkatakan minggu ini susulan tindakannya menyifatkan PASLeaks adalah dokumen kosong dan tidak boleh digunakan untuk menentukan pendirian PAS terhadap Umno.
Terdahulu dalam kenyataan hari ini, Annuar juga membidas ahli Umno yang sering mempertikaikan kesetian ahli Umno yang lain terhadap parti.
Menurutnya, rasa curiga yang ditanam dalam kalangan ahli parti sendiri terhadap rakan dalam parti boleh menyebabkan Umno menjadi lemah. – Malaysiapost

