Tak aneh jika ada yang percaya kesahihan PasLeak – Shahril

0
2

TIADA yang aneh dan mengejutkan sekiranya ramai pemimpin Umno bertanya sama ada dokumen ‘PasLeak’ adalah sahih dan benar.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata ia kerana apa yang digambarkan melalui perbincangan didakwa berlaku dalam PasLeak seakan-akan konsisten dengan tindakan terhadap Umno selama ini.

“Cuba campur tangan dalam Umno. Cuba mengajar dan mengarah Umno apa yang ia perlu buat, dengan siapa ia mesti bekerjasama, dengan siapa ia tak boleh bekerjasama. Cuba pecahbelahkan Umno dengan adu domba.

“Ini semua sudah berlangsung lama dan nyata dalam tindakan dan kenyataan pimpinan dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Shahril berkata, sememangnya tidak dapat dipastikan kesahihan dokumen PasLeak dan jika benar sekalipun tujuan pihak yang membocorkan maklumat dan siapa yang terlibat dalam mesyuarat itu masih samar.

“Atau sama ada mereka mewakili seluruh kepimpinan PAS atau tidak. Kita tak tahu sama ada ditambah gula garam dan cili untuk wujudkan syak wasangka dalam Umno yang semakin lama semakin utuh kesatuannya.

“Tapi yang kita tahu, “Pasleaks” tak lari jauh dari realiti tindakan yang dibuat terhadap Umno selama ini. Itu kisah yang utama. Sama ada dokumen itu sahih atau palsu, tidak aneh mengapa isu ini ‘bernyawa’,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa hantaran didakwa minit mesyuarat PAS yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Antara nama yang disebut sebagai ‘perancang utama’ dalam dokumen itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang dikatakan mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti politik lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here