Adakah Hasni tidur dalam dewan?, Puad bidas bekas MB

0
3

SPEAKER Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas bekas Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang didakwa tidak tahu membezakan antara ucapan teguran dan menghina.

Mohd Puad berkata, ucapannya pada hari pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu adalah untuk memperingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkenaan titah Sultan Ibrahim Iskandar.

“Datuk Hasni tuduh saya menghina Dewan Negeri. Apa yang saya hina? Dia ada dalam Dewan. Dia mendengar apa yang saya kata.

“Saya mengingatkan kepada titah nasihat Tuanku Sultan Ibrahim ketika pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14.

Tuanku bertitah, “Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia bukan dewan sangkar beruk,”

“Apakah itu menghina? Kenapa Hasni mesti memetik daripada portal lain sedangkan dia ada dalam Dewan. Apakah dia tidur dalam Dewan?,” katanya di Facebook, hari ini.

Mohd Puad yang juga Adun Rengit berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan bekas Menteri Besar Johor itu yang menyifatkan ucapan Speaker Johor pada hari pertama sidang ada unsur penghinaan.

Menurut Hasni, Mohd Puad tidak seharusnya berkata demikian, meskipun sekadar untuk mengingat.

“Sebagai Speaker dan Ahli Dewan Negeri, seeloknya beliau memberikan jaminan serta mengutarakan pelan tindakan bagi memperkuat institusi demokrasi negeri dalam masa terdekat.

“Dalam konteks kedudukan beliau, reformasi politik, mengukuhkan kepercayaan rakyat kepada institusi demokrasi serta ahli politik adalah lebih mustahak daripada memainkan sentimen ‘derogatory’ seperti itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, beliau hanya menambah titah Sultan Johor itu yang berkaitan demi Bangsa Johor.

“Apakah mengingatkan nasihat murni itu satu penghinaan (derogatory)?

“Saya hanya menambah, “Kita memikul tanggungjawab sebagai pembina utama sendi sendi bernegara dan berbangsa. Peliharalah nama baik Bangsa Johor”.

“Hasni boleh semak hansard Dewan sebelum buat komen. Sebenarnya lena dalam Dewan adalah menghina Dewan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here