PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membeli sebuah karya anak kecil yang sedang menimba ilmu bertemankan pelita.
Lukisan itu dibelinya ketika melawat ke Malaysia Grand Bazar dan singgah Artists’ Corner selepas menyempurnakan pelancaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030) di Lalaport Bukit Bintang City Center di ibu negara.
“Lukisan ini amat-amat dekat dengan hati saya dan mengimbau kembali nostalgia saya sewaktu kecil yang melalui pengalaman yang sama.
“Insha Allah, saya akan pastikan tiada Keluarga Malaysia melalui pengalaman yang sama dan “kebersamaan” kita untuk memajukan negara menjadi tunjang kepada impian ini,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya.
Turut hadir pada program berkenaan ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. – Malaysiapost

