Tahun ini belum berjaya berpuasa – Uncle Kentang.

0
2

AKTIVIS masyarakat dikenali sebagai Uncle Kentang mengakui masih belum berjaya berpuasa walaupun sehari sepanjang Ramadan tahun ini.

Menurutnya, keadaan kesihatannya yang sedikit terjejas tahun ini tidak mengizinkannya untuk berpuasa seperti rakan-rakan umat Islam kerana perlu kerap makan ubat.

Katanya, setiap kali kedatangan Ramadan dia akan teruja dan tidak terkecuali cuba berpuasa.

“Ya saya pernah cuba berpuasa ketika Ramadan. Memang sukar bagi saya, dahaga yang susah sikit… tahan makan atau benda lain semua boleh. Tapi berjaya juga puasa penuh sehingga waktu berbuka.

“Tapi bukan setiap hari berturut-turut, ikut kelapangan masa dan jika jadual tak padat. Tapi itu kisah Ramadan tahun-tahun sebelum ini.

“Tahun ini kesihatan saya kurang memuaskan… masih belum berkesempatan untuk cuba berpuasa kerana saya perlu makan ubat selalu,” katanya dipetik MStar.

Pemilik nama Kuan Chee Heng itu menjelaskan, setiap tahun dia akan memastikan dapat berbuka puasa dengan dua anak angkatnya beragama Islam.

“Tapi satu perkara yang wajib buat setiap tahun adalah berbuka puasa dengan dua anak angkat saya iaitu Manja dan Azizah. Sejak lebih 10 tahun lalu, saya tak ‘missed’ berbuat demikian.

“Mereka ini anak daripada keluarga susah yang pernah saya bantu dan dianggap macam anak sendiri. Mereka pun panggil saya ayah. Setiap tahun saya belikan mereka pakaian dan duit raya,” katanya.

Beliau juga menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika memandu pulang ke kampung di musim perayaan ini.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya kepada semua. Pandu dengan selamat ketika balik kampung, jangan gopoh. Rancanglah perjalanan masing-masing kerana dijangka tahun ini bilangan kenderaan di jalan raya akan bertambah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here