SERAMAI 11,290 calon telah disahkan bertanding dalam pemilihan PKR 2022 bagi pelbagai jawatan setelah melalui proses bantahan dan rayuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata bantahan terhadap calon hanya diterima melibatkan lapan orang sahaja atas sebab seperti status kebankrapan dan senarai hitam yang ditetapkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.
“Tahniah buat 11,282 calon yang melepasi saringan ini dan layak menyertai senarai akhir pencalonan termasuk 20 calon bagi barisan kepimpinan tertinggi.
“Sekali lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul calon tunggal Presiden tanpa sebarang pertandingan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Zaliha berkata ketika ini, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sedang dalam persediaan menghadapi fasa pengundian secara fizikal dan dalam talian yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 22 Mei 2022.
BACA LAGI: Hans Isaac umum tanding Ketua Cabang PKR Ampang
Katanya, semalam merupakan hari terakhir permohonan pendaftaran sebagai pemilih atas talian (PAT) melalui aplikasi ADIL.
“Seramai 96,983 orang telah berjaya memuat turun aplikasi ADIL dan mengemaskini maklumat diri dan kemudiannya memilih untuk menjadi PAT.
“Menariknya, lebih 700 anggota yang kini menetap di luar negara termasuk di Australia, Brunei, Singapura dan lain-lain juga tersenarai sebagai PAT.
“Meskipun permohonan baharu telah pun ditutup, kerja-kerja akan diteruskan sehingga kesemua yang memohon untuk menjadi PAT selesai ditentusahkan,” katanya.
Beliau berkata senarai penuh calon-calon ini boleh dilihat di laman web Pemilihan 2022 di hetps://pemilihankeadilan2022.com. – Malaysiapost

