PENYANYI kumpulan terkenal OAG, Muhammad Radhi Razali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas tuduhan mencederakan dan memukul bekas isterinya, Selasa lalu.
Radhi, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.
Tertuduh diwakili Peguam Haziq Aizuddin Subhi, mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya, lapor Harian Metro.
Kelmarin, penyanyi itu ditahan polis selepas dipercayai memukul bekas isterinya, Ayu atau Nur Shahira Ayu Zahiri, 27, di kawasan rumah lelaki itu di Kota Damansara.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa mahu mengambil anak lelakinya daripada suspek di kawasan parkir rumah pada 2.29 petang.
BACA LAGI: Artis lelaki ditahan pukul bekas isteri
Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham kerana mangsa dikatakan enggan bergambar dengan suspek, sehingga artis itu didakwa marah dan memukul badan wanita berkenaan menyebabkannya lebam serta anggota badan sakit.
Radhi dan Ayu disahkan bercerai oleh Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari pada 16 Julai 2019 selepas penyanyi itu melafazkan talak kira-kira 4.20 pagi, 25 Mac 2019.
Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dikurniakan dua anak berusia enam dan tujuh tahun.
Selepas bercerai, Ayu dan anaknya menetap bersama ibu bapanya di Kota Damansara. – Malaysiapost



