KES penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang dilaporkan di Selangor sejak awal tahun ini dilaporkan meningkat terutama membabitkan kanak-kanak berusia di bawah tujuh tahun.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata sehingga kini sebanyak 4,383 kes telah dilaporkan dengan bilangan kes mingguan melebihi kes yang dilaporkan dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Menurutnya, terdapat 103 kluster HFMD dilaporkan membabitkan 497 kes dengan 95 peratus daripadanya kluster di taska, tadika dan pusat jagaan harian, namun bagaimanapun tiada kematian dilaporkan setakat ini.
“Penyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackievirus A16 (CA16) dan Enterovirus 71 (EV71).
“Virus ini merebak melalui kontak menerusi permukaan atau peralatan tercemar dengan air liur, cecair lepuh (blister) atau najis pesakit HFMD,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kebiasaannya jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki dan mulut serta hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam tempoh tujuh ke 10 hari.
“Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis.
“Bagi kes-kes yang dilaporkan pada tahun ini, majoriti adalah jangkitan CA16 (33 peratus) dan EV 71 (20 peratus), manakala lain-lain (bukan CA16 dan bukan EV71) adalah 47 peratus,” katanya
Dr Sha’ari berkata berikutan trend peningkatan kes HFMD itu, JKNS menggesa orang ramai, khususnya pengusaha serta penjaga kanak-kanak supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
“Sentiasa memastikan kebersihan premis terutama lantai dan bilik air serta peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak.
“Membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda jangkitan HFMD, mengamalkan kebersihan diri serta melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah untuk tindakan kawalan dan pencegahan,” katanya.
Menurutnya, JKNS akan terus memantau situasi HFMD di Selangor dan akan bekerjasama dengan jabatan serta agensi berkaitan dalam memastikan tindakan pencegahan dan kawalannya dapat dilaksanakan dengan segera. – Malaysiapost

