Bahagian hidupan liar bernilai RM81,577 dirampas

0
2

PASUKAN Penguatkuasaan dan Perlindungan Sarawak Forestry Corporation (SFC) Wilayah Miri bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima, berjaya merampas pelbagai bahagian hidupan liar dalam serbuan di sekitar Bandaraya Miri, kelmarin.

Antara rampasan dalam Op Khazanah itu adalah 511 bahagian burung merak, 148 unit kuku beruang, 17 unit tanduk rusa, 14 unit kuku helang dan satu unit beg tangan yang diperbuat daripada kulit rusa.

SFC Wilayah Miri dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, memaklumkan bahagian hidupan liar yang dirampas itu turut membabitkan haiwan yang dilindungi dan dilindungi sepenuhnya.

Menurutnya, serbuan dilakukan di empat premis kraftangan berasingan di Borneo Heritage Handicraft Centre Miri, Sarawak.

“Menjual dan memiliki hidupan liar adalah satu kesalahan di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

“Kesemua barang rampasan tersebut telah dibawa ke pejabat SFC Wilayah Miri untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, berkongsi mengenai kejayaan sama PPM Wilayah Lima memaklumkan operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan.

“Pemilik bahagian hidupan liar diminta mengemukakan lesen atau permit sah dari Controller Hidupan Liar Sarawak Forestry Corporation berkaitan bahagian hidupan liar yang berada di lokasi kejadian namun semuanya gagal berbuat demikian.

“Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM81,577 dan kesemua barang rampasan diserah kepada pihak SFC Wilayah Miri, untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here