PBS dakwa ‘parti kapal’ mahu beli kerusi

0
3

PARTI Bersatu Sabah (PBS) mendakwa ‘parti kapal’ mula menghubungi wakil rakyat mereka untuk membeli kerusi dengan sanggup menawarkan duit dan jawatan.

Menerusi kenyataan di Facebook, parti itu mendakwa mereka sekali lagi dijadikan sasaran fitnah ketika kemelut pelantikan calon Ketua Menteri belum diumumkan dengan propaganda politik mulai tersebar dan khabar angin pengkhianatan mula bertiup.

“Mainan politik kotor oleh parti lawan yang pada masa kempen kononnya mengamalkan nilai prinsip dan maruah, nilai kesatuan dan integriti – kini berubah wajah, berubah rupa.

“Mereka yang kononnya parti tempatan lebih baik dari parti Malaya tapi sebenarnya bertopengkan musang.

“Sedarlah wahai WarisanPlus, PBS bukan parti yang baru dibina kelmarin, PBS bukan parti yang murahan dan tidak berwibawa. PBS terbentuk dari rakyat, oleh rakyat dan bagi rakyat,” kata parti itu.

PBS juga mendakwa pernah dianiaya, difitnah dan dicaci, tapi PBS kekal berdiri untuk rakyat.

“PBS berpegang pada prinsip dan maruah, PBS akan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Kenyataan PBS ini berkemungkinan susulan dari dakwaan sebuah akaun Facebook yang mengatakan PBS hari ini mengumumkan untuk mengadakan mesyuarat berhubung dgn pembentukan semula kerajaan Negeri Sabah.

Akauan Facebook Sabah Ubah itu mendakwa, sumber dipercayai mengesahkan mesyuarat itu bahawa Adun PBS termasuk Presiden sudah menemui Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dalam merangka kerjasama dan strategi pelaksanaan penubuhan kerajaan baharu Sabah.

“Jika ini benar-benar berlaku…maka, Kerajaan baharu Sabah akan di bentuk hasil penyatuan Warisan, DAP, PKR dan PBS. Buat pertama kalinya..Sabah mungkin memiliki seorang Timbalan Ketua Menteri yg di lantik dari seorang calon parti PBS.

“Nasib Adun2 BN dan PN masih belum diketahui ketika sudah terdengar desas desus mengatakan bahaw 4-5 Adun tersebut akan berhijrah kepada parti Warisan atau pun PBS,” katanya.-Malaysiapost