KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM24.8 juta kepada FELCRA Bhd bagi pelaksanaan dan pembangunan aktiviti memperkasa 24,000 pesertanya di Pahang sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri 1, Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata menerusi peruntukan di bawah Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-12 itu, KPLB fokus merapatkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar.
”Selain itu, kemudahan infrastruktur asas termasuk ameniti sosial diperluas, serta pembangunan modal insan dan peningkatan kadar pendapatan warga luar bandar akan turut diberi tumpuan.
“Inisiatif ini juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam membangun dan memajukan masyarakat luar bandar melalui KPLB dan FELCRA Berhad – agensi yang diyakini dapat merealisasikan agenda kerajaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang Media Majlis Iftar Warga FELCRA Kawasan Sungai Temau, Kuala Lipis.
Sehingga Julai 2020, katanya, FELCRA Berhad telah memajukan seluas 224,130 hektar ladang bagi pihak 107,000 peserta merangkumi 1,049 Projek Penyatuan dan Pemulihan, serta 33,145 hektar estet milik
syarikat FELCRA Berhad.
”Sebanyak 298 projek ditadbir 32 kawasan yang menjadikan luas keseluruhan tanah dibangunkan adalah melebihi 52,000 hektar di seluruh Pahang”, ujar Rahman.
Beliau menambah, komitmen ditunjukkan FELCRA Berhad telah mengubah lanskap pembangunan luar bandar melalui peningkatan taraf hidup dan pendapatan penduduk menerusi aktiviti pembangunan tanah.
”KPLB amat menyokong pelaksanaan lebih banyak projek pembangunan berimpak tinggi di setiap Projek FELCRA, agar dapat memberi manfaat kepada peserta dan masyarakat di sekeliling projek, terutama dari segi peningkatan potensi pendapatan mereka”, ujar beliau lagi. – Malaysiapost

