SPRM perjelas video tular libat pegawainya

0
3

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan seorang pegawainya berlaku kasar dan menghalau sekumpulan ahli parti politik di pekarangan bangunan ibu pejabat suruhanjaya itu hari ini.

Ia susulan video yang ditularkan menerusi akaun Twitter dan Facebook milik Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Menjelaskan mengenainya, SPRM berkata berdasarkan peraturan Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) yang diwarta terhadap bangunan tersebut, Bahagian Keselamatan SPRM hanya membenarkan tiga wakil pihak luar untuk masuk ke pekarangan dan dalam bangunan SPRM bagi bertemu pegawai bertugas untuk membuat aduan.

Menurut SPRM, rakaman video dan kamera juga tidak dibenarkan dalam KLTL tanpa kebenaran pengurusan tertinggi.

“Bagaimanapun didapati tujuh daripada 25 individu dalam kumpulan itu telah masuk secara berdua-dua ke pekarangan SPRM sehingga ke pintu utama bangunan.

BACA LAGI: Mohd Nazlan lapor polis berhubung dakwaan RM1 juta dalam bank

“Individu-individu tersebut juga tidak mematuhi peraturan KLTL kerana merekod video ketika berada di pekarangan dan dalam bangunan SPRM.

“Kejadian itu berlaku dalam pekarangan bangunan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 11 pagi hari ini,” kata suruhanjaya itu menerusi kenyataan.

Bagaimanapun, SPRM berkata pihaknya memandang serius insiden tersebut dan akan membuat siasatan lanjut.

“Sekiranya didapati berlakunya salah laku, suruhanjaya ini akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya lagi.

Sementara itu, SPRM juga mengesahkan sudah menerima maklumat daripada ahli PSM, Dr Jeyakumar Devaraj yang membabitkan dakwaan isu penyelewengan dalam urusan tanah kerajaan di Perak.

Menurutnya, SPRM akan mengkaji dan meneliti terlebih dahulu maklumat tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut dijalankan.

“Sebagai agensi pencegahan rasuah, SPRM sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk tampil ke mana-mana pejabat SPRM bagi membuat aduan berkaitan rasuah,” katanya.

Terdahulu beberapa pemimpin PSM bersama sekumpulan petani kecil dari beberapa kawasan di Perak mengunjungi ibu pejabat SPRM di Putrajaya membuat aduan dakwaan penyelewengan, disyaki berlaku dalam urusan tanah kerajaan di Perak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here