KABINET telah mengarahkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas ditubuhkan bagi memantau agar tiada ketirisan dalam pelaksanaan projek perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS), kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menteri Kanan Pertahanan itu berkata, proses mobilisasi projek LCS ini juga akan dipantau dan dilaporkan setiap bulan kepada Kabinet.
“InsyaAllah YB (Dr Hatta Ramli). Memang itulah antara keutamaannya. Tentang pemantauan – Kabinet telah arah JK Tadbir Urus Khas ditubuhkan, dipengerusikan bersama oleh KSP MOF dan KSU MINDEF.
“Perjalanan proses mobilisasi akan dipantau secara dekat dalam tempoh enam bulan seterusnya dan lapor perkembangan kepada Kabinet setiap bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab kebimbangan Ahli Parlimen Lumut, Dr Hatta Ramli berhubung ketirisan perbelanjaan yang akan berlaku ke atas projek LCS jika tidak dipantau dengan rapi.
BACA LAGI: Kabinet setuju teruskan projek LCS – Hishammuddin
Selain itu, Dr Hatta juga membangkitkan isu vendor yang kehilangan punca pendapatan kesan daripada perkara tersebut.
Beliau juga menggesa pesalah penyelewengan dana negara diheret ke muka pengadilan dengan segera.
Justeru, berkaitan vendor, Hishammuddin berkata, projek LCS ini diteruskan bagi membantu mereka khususnya syarikat tempatan daripada gulung tikar.
“Berkenaan vendor – ini memang salah satu sebab projek LCS diteruskan. Kita tidak mahu lebih 400 vendor yang mana lebih 100 daripadanya syarikat tempatan gulung tikar.
“Apatah lagi 90 peratus daripada syarikat tempatan ini ada hubung kait dengan veteran. Ini soal kebajikan,” katanya.
Bagi pesalah penyelewengan, Hishammuddin berkata, walaupun projek LCS diteruskan, pesalah sebelum ini tetap dikenakan tindakan.
Malah, katanya, pihaknya juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempercepatkan siasatan berkaitan kes ini.
“Tentang pesalah – no kompromi. Terus projek tidak bermakna pesalah sebelum ini terlepas. SPRM telah digesa percepat siasatan. Siapa salah pasti dihadap ke muka pengadilan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan LCS diteruskan.
Hishammuddin berkata keputusan itu dibuat Kabinet selepas mengambil kira dua faktor utama iaitu LCS adalah aset yang amat dimahukan dan diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek berkenaan dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.

