PRESTASI Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Asas Tahun 2022 setakat 15 April 2022 adalah pada kadar 18.33 peratus, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Susulan itu, Perdana Menteri berkata Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) diwujudkan bagi menangani cabaran-cabaran utama dalam pengagihan DE.
Katanya, mesyuarat juga bersetuju supaya Ketua Setiausaha semua kementerian melapor status perbelanjaan DE kepada menteri masing-masing setiap bulan supaya tindakan segera diambil bagi mempercepat pelaksanaan projek.
Beliau berkata, selaras Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-12), kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025.
Terdahulu, Ismail Sabri mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe12 kali pertama bagi tahun 2022.
Beliau berkata, mesyuarat hari ini meluluskan rangka kerja untuk memantau prestasi beberapa petunjuk untuk mencapai sasaran tersebut.
Katanya, petunjuk ini merangkumi tiga komponen laitu kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan.
“Antaranya termasuklah pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan isirumah; peningkatan daya saing dan produktiviti dan Peningkatan sumbangan industri berimpak tinggi kepada ekonomi.
“Selain itu, pembasmian kemiskinan tegar, pembangunan negeri yang seimbang; dan Kemampanan dan daya tahan alam sekitar,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, mesyuarat juga membincangkan strategi membasmi miskin tegar menjelang tahun 2025.
Menurutnya, Fasa 1 Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bermula pada bulan ini, telah melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 ketua isi rumah (KIR).
“Secara keseluruhannya, sebanyak 1,000 lokaliti akan dipilih untuk pelaksanaan BMTKM sehingga penghujung tahun 2025.
“Pelaksanaan BMTKM menggunakan pendekatan baru yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan memberi tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, mesyuarat juga dimaklumkan berkenaan Perancangan Projek Tebatan Banjir yang berjumlah RM15 bilion bagi tempoh 8 Tahun 2023 hingga 2030.
“Kaedah pembiayaan projek-projek ini sedang diperincikan oleh Kementerian Kewangan. Perancangan secara holistik ini merangkumi projek jangka masa pendek/sederhana dan panjang,” katanya. – Malaysiapost

