Polis kenalpasti mangsa, suspek kes buli di sekolah

0
2

POLIS sudah mengenalpasti pelajar yang dipercayai menjadi mangsa buli di asrama sebuah sekolah di Sibu, Sarawak seperti rakaman video yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata pihaknya mengesan satu hantaran video berdurasi 23 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Boss Jeff’, semalam.

Menurutnya, video berkenaan memaparkan kejadian buli membabitkan beberapa remaja lelaki yang berlaku di sebuah asrama sekolah di Sibu.

“Polis telah menerima satu laporan berhubung video yang tular itu dan seterusnya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 509 Kanun Keseksaan.

“Berhubung kejadian buli tersebut, pihak polis telah mengenalpasti mangsa dalam kejadian itu dan mangsa adalah pelajar di sekolah yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengenalpasti suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Pihak polis mengambil perhatian serius terhadap kes ini dan mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak memanipulasi rakaman video yang telah ditularkan itu,” katanya.

Terdahulu, video yang tular berkenaan menunjukkan seorang pelajar yang sedang baring atas katil dibuli oleh beberapa pelajar lain termasuk ditunjukkan penumbuk di muka serta seluar dipakai turut ditarik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here