‘Video itu potongan daripada ceramah penuh’ – Ustaz Wadi Anuar

0
4

PENDAKWAH Ustaz Wadi Anuar tampil menjelaskan kenyataan berhubung tatacara sujud dalam solat adalah pandangannya sebagai pendokong mazhab Shafie.

Beliau berkata, dalam video yang tular menerusi aplikasi TikTok menjelaskan bahawa tatacara sujud dalam solat dengan mendahulukan tangan sebelum lutut ketika hendak bersujud adalah khilaf dalam fikah.

“Kita seharusnya menghormati dan meraikan semua pendapat muktabar dalam mazhab dengan tidak menyalahkan pendapat yang lain serta meraikan suasana serta amalan solat mengikut aliran arus perdana di negara ini iaitu mazhab Shafie.

“Saya selanjutnya menegaskan bahawa intipati video tersebut adalah berkaitan dengan pandangan peribadi saya yang saya ulas berdasarkan kepada pandangan ulama yang selari dan selaras dengan Ahli Sunnah wal Jamaah serta keseragaman amalan fikah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNP) menafikan dakwaan ada mengeluarkan peraturan ‘mendahulukan tangan sebelum lutut’ ketika sujud seperti yang tular dalam satu video penceramah bebas.

Menerusi kenyataan, jabatan itu menegaskan tiada peraturan seperti itu dikeluarkan di negeri berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat yang tidak berasas.

Sementara itu, Wadi berkata klip video itu adalah potongan daripada rakaman penuh sesi ceramah di Langkawi pada 2017 dan bukan ketika bulan Ramadan.

Katanya, dalam klip itu juga beliau langsung tidak menyebut atau mengaitkan mana-mana negeri termasuk negeri Perlis seperti yang didakwa.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan JMNP terhadap kenyataannya dalam klip itu bertujuan menimbulkan permusuhan sesama muslim tanpa alasan yang sah.

“Justeru, tindakan jabatan tersebut yang hanya membuat penilaian berdasarkan kepada video tersebut tanpa membuat semakan yang wajar dan terperinci sememangnya akan mengundang fitnah, menimbulkan kebencian dan salah sangka dalam kalangan masyarakat terhadap saya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here