SERAMAI empat peguam pemerhati yang dicadangkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, hadir pada perbicaraan kes penderaan remaja Sindrom Down dikenali Bella di Mahkamah Sesyen, pagi ini.
Kehadiran peguam terbabit iaitu Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman, turut mendapat persetujuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Ahad lalu, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati bagi kes penderaan remaja berkenaan.
Semalam, Tunku Ismail selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun mencadangkan undang-undang semasa bagi Akta Kanak-Kanak 2001 dipinda segera bagi memastikan kes penderaan mangsa sindrom down dikenali sebagai Bella tidak lagi berulang.
Jelasnya, penambahbaikan undang-undang semasa seperti Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan dengan segera yang mana ia haruslah merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan.
“Ini adalah bagi memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam,” katanya.
Kisah Bella didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, yang kini sedang dibicarakan mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia. – Malaysiapost

