3 nelayan asing ditahan

0
2

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan bot nelayan tempatan kelas B bersama tiga kru warga asing tanpa dokumen sah berhampiran Pulau Pasir Hitam, Perak pada jam 12 tengah hari, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali, berkata semasa rondaan rutin, bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan bot nelayan terbabit dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati, seramai tiga kru termasuk tekong berada di atas bot dan dua daripadanya merupakan warga Thailand manakala seorang warga Myanmar berumur lingkungan 31 hingga 45 tahun.

“Kesemua yang terlibat tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran menggajikan kru warga asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun semakan mendapati bot yang dikendalikan memiliki dokumen lesen vesel yang sah.

“Sebanyak 500 kilogram (kg) hasil ikan campur serta 200kg ikan baja dianggarkan bernilai RM2,700 ditemui semasa pemeriksaan dilakukan.

“Kesemua suspek, bot, peralatan menangkap ikan, hasil perikanan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau meminta orang ramai melaporkan sebarang salah laku di laut kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here