Kami tidak lindungi Siti Bainun – Nurul Hidayah

0
2

ANAK Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, iaitu Datuk Nurul Hidayah sekali lagi tampil menjelaskan isu hubungan keluarganya dengan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Nurul Hidayah menerusi laman Instagram, mengakui hubungan di antara keluarganya dan Siti Bainun pernah rapat sebelum ini namun itu bukan bermaksud pihak mereka tahu luar dan dalam yang dilakukan tertuduh.

Tegasnya, dia dan keluarganya turut berasa dikhianati dan mereka tidak sesekali menjadikan alasan hubungan rapat itu sebagai benteng untuk melindungi tertuduh di atas kes penderaan yang dihadapinya.

“Sebagai anak saya wajib mempertahankan maruah keluarga saya dari terus tercalar. Saya tidak pernah membuat kenyataan saya tidak mengenali Orang Kena Tuduh (OKT).

“Kenyataan saya adalah kami sekeluarga tiada kena mengena dengan OKT atau dengan pemahaman lain, kami sekeluarga tidak pernah melindungi OKT.

“Benar kami pernah kenal dan rapat. Sebagai seorang yang pernah rapat saya merasakan dikhianati kerana selama ini OKT yang saya anggap sebagai insan yang suka membantu orang lain sebenarnya mempunyai satu lagi personaliti yang tidak terbayang dek akal saya,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Hidayah turut meluahkan rasa terkilan kerana keluarganya tidak ada kena-mengena berkaitan kes penderaan terbabit tetapi warganet lebih menjadikan mereka tumpuan berbanding tertuduh.

“Saya tidak faham apakah motif dan fokus #justiceforbella sekarang ini? Untuk membuktikan siapa pelaku atau membuktikan siapa yang pernah rapat dengan OKT?

“Saya tidak berhajat untuk menulis lebih panjang kerana sebagai manusia, hati saya tidak mampu menahan emosi melihat orang yang pernah rapat dengan kita suatu ketika dahulu didakwa atas tuduhan mendera. Wallahi kami sekeluarga tidak pernah melindungi OKT,” katanya.

Bagi membuktikan kata-katanya, Nurul Hidayah turut menyertakan tangkap layar daripada perbualan dirinya dengan Siti Bainun menerusi aplikasi Whatsapp.

“Screenshot daripada Whatsapp saya diharap dapat menjelaskan keadaan yang saya juga telah ditanya oleh OKT “Kak Long ada personal isu dengan saya ker?!” setelah satu posting dibuat pada tahun lepas di IG saya berkenaan Bella.

“Justeru, saya tidak memaksa untuk sesiapa mempercayainya. Tetapi cukuplah saya menjelaskan kami sekeluarga tidak pernah melindungi OKT,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Nurul Hidayah berkata, dia menganggap Siti Bainun seorang yang baik, kerana selalu membantu orang dengan melakukan kerja amal dan dia cuba satukan Siti Bainun dengan adik lelakinya

“Saya agak nakal untuk ‘kenenkan’ atau ‘match make’ adik bongsu saya dengan OKT. Adik saya seorang yang sangat baik, sangat rapat dengan keluarga dan tidak pandai bergaul dengan perempuan (agak pemalu).

“Apa yang berlaku selepas usikan demi usikan, mereka jadi rapat,” kongsinya.

Namun, jelasnya, hubungan adik lelakinya dengan tertuduh tidak menjadi, kerana mempunyai masalah ekoran beberapa isu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here