Ramadan Shuib berbeza tanpa Siti Sarah

0
2

PASTI Ramadan tahun ini dilalui dengan perasaan berbeza buat pelawak Shuib, tanpa isteri tercinta Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 38, mengakui ini pengalaman baru yang terpaksa ditempuhinya bersama anak-anak.

Menurut Shuib, perkara paling mengingatkannya kepada arwah isteri adalah yang berkaitan makanan.

Ketika hayat isterinya, Shuib berkata, mereka berdua selalu melakukan aktiviti bersama termasuk dalam mencari menu berbuka dan bersahur yang viral dan sedap.

“Kami selalu buat aktiviti bersama termasuk bab makan dan mencari restoran yang sedap. Sekarang ini susah untuk saya dapat satu tempat yang kena dengan citarasa kerana rasakan seperti tidak lengkap.

“Ada satu hari saya terjumpa sebuah restoran yang memang menyajikan menu sedap tetapi ketika itu saya fikir alangkah indahnya jika arwah masih bersama.

“Pernah juga ibu mentua masakkan pajeri nenas baru-baru ini, saya tak boleh makan sebab teringatkan arwah. Itulah yang selalu dia masak untuk kami sekeluarga,” kata Shuib dipetik MStar.

Keadaan itu, menurut Shuib menyebabkan berat badannya menyusut agak ketara kerana selera makan yang tidak menentu.

Namun, atas nasihat keluarga dan demi anak-anak, Shuib menjelaskan, digagahi juga memaksa dirinya untuk makan agar kesihatan tidak terjejas.

“Keluarga saya selalu pesan supaya makan agar tidak sakit demi anak-anak. Saya paksa diri makan tetapi tidaklah terlalu berselera.

“Berat badan saya menurun dari 68 kilogram kepada 59 kilogram sekarang ini. Kalau hitung-hitung dan ikutkan selera sekarang ini, boleh turun lagi sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.

Shuib dan Allahyarham Sarah mendirikan rumah tangga pada tahun 2011.

Bagaimanapun Sarah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi, 9 Ogos tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat Covid-19.

Allahyarham menjalani pembedahan bagi melahirkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos yang diberi nama Ayash Affan.

Selain Ayash, pasangan berkenaan juga dikurniakan tiga orang cahaya mata lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here