PENGARAH Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin menyifatkan Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Mei ini, hanyalah wayang terancang untuk membersih diri masing-masing.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard berkata, debat berkenaan adalah agenda dua tokoh politik terbabit untuk menjadikannya pentas bagi menyerang musuh politik serta mencipta dan menyebarkan persepsi seolah-olah mereka adalah mangsa.
“Selain itu, jangan pelik jika Najib dan Anwar berunding kerana mereka pernah berunding sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dengan Timbalan Presiden Indonesia ketika itu Jusoff Kalla sebagai orang tengah.
“Itu pernah didedahkan oleh Kalla secara terbuka dalam media Indonesia. Selepas dipenjara atas kesalahan liwat kakitangan sendiri, Anwar sekali lagi memperkukuhkan hubungan dengan Najib untuk dapat keistimewaan dalam penjara.
“Saya berani cakap kerana saya dan adik Anwar sendiri terlibat secara langsung berunding dengan pihak Najib sehingga pelbagai keistimewaan diperolehi,” katanya menerusi Facebook.
Tambah Badrul Hisham, perdebatan ini tiada menarik, cuma kedua-dua watak itu iaitu Najib dan Anwar hanya ‘Machiavellian politician’.
“Buktinya surat 11 Oktober 2020 di mana Najib bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tulis surat atas nama Umno alamatkan ke YDP Agong nyatakan sokongan Umno untuk Anwar jadi Perdana Menteri.
“Saya dimaklumkan oleh Tan Sri Annuar Musa bahawa pihak istana sendiri maklumkan (beri salinan surat) kepada Perdana Menteri ketika itu.
“Kemudian Annuar sendiri dedahkan pada media akui kebenaran surat tersebut. Jadi Anwar – Najib sekutu yang boleh saling kerjasama bila tersepit tetapi berselindung pada umum,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, idea debat itu merupakan cetusan provokasi bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam menarik perhatian anggota parti tersebut dalam kempen Pemilihan PKR 2022.
“Memang cara Rafizi berdepan pemilihan PKR 2018 Rafizi gunakan pentas kempen serang Mahathir hingga jejaskan kepercayaan Mahathir pada PKR khususnya Anwar.
“Kali ini Rafizi bukan kuda Anwar. Bukan rahsia Anwar mahu Saifuddin Nasution sebagai Timbalan. Provokasi Rafizi ke atas Najib agak menjadi peringkat awal.
“Namun Najib cuba beralasan dengan ajak Anwar. Ini peluang Anwar ‘hijack’ kelajuan populariti kempen Rafizi. Anwar licik dan akhirnya Rafizi tenggelam yang dilihat hanya debat Anwar – Najib,” katanya. – Malaysiapost

