PASUKAN petugas khas siasatan dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’, dijangka dapat menyiapkan laporan penuh menjelang Jun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata laporan terbabit akan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri bagi menentukan tindakan selanjutnya.
“PPK sudah menyediakan satu laporan interim yang dikemukakan dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan hari ini yang kemudian bersetuju dengan laporan berkenaan.
“Laporan akhir yang akan disediakan oleh pasukan petugas khas siasatan pula akan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri bagi menentukan tindakan selanjutnya. Pasukan berkenaan dijangka menyiapkan laporan penuh menjelang penghujung Jun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai siasatan itu, Wan Junaidi berkata, pasukan petugas khas berkenaan sudah mengadakan 10 mesyuarat membabitkan sesi perbincangan dan konsultasi dengan pelbagai pihak berkaitan.
Pihak berkenaan, katanya, seperti Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar Negeri.
Selain itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, agensi kerajaan berkaitan serta individu yang dikenal pasti mulai 23 Disember 2021 hingga 12 April lalu.
“Pasukan ini menjalankan pemerhatian dan analisis secara menyeluruh terhadap buku terbabit berpandukan kepada terma rujukan yang diluluskan oleh Kabinet.
“Sesi perbincangan dan konsultasi yang diadakan membolehkan analisis dan pemerhatian diuji secara berkesan dengan dokumen dan maklumat yang diperoleh bagi memastikan pembuktian terhadap kesahihan fakta dan dakwaan-dakwaan yang ditimbulkan dalam buku berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan komited dalam meneliti isu berbangkit berhubung badan perundangan dan kehakiman negara, malah penubuhan pasukan petugas khas itu adalah langkah untuk memperkasa sistem keadilan Malaysia ke tahap terbaik.
Pasukan terbabit dipengerusikan Penasihat Undang-Undang Sarawak dan bekas Peguam Besar Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung, manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri bertindak sebagai urus setia.
Ia dianggotai bekas Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Hashim Paijan serta bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat yang juga bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Dr Junaidah Kamaruddin.
Selain itu, bekas hakim dan Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, peguam, Datuk Shaharudin Ali dan K Balaguru serta wakil Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) serta Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO). – Malaysiapost

