PRU15: ‘Khemah Besar’ pembangkang tidak termasuk Umno, Bersatu, PAS

0
3

PAKATAN Harapan (PH) tidak akan bekerjasama dengan pengkhianat parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tegas Mohamad Sabu.

Presiden Amanah itu, berkata pihaknya menghormati dan meraikan perbezaan pandangan pelbagai pihak mengenai pendekatan ‘Khemah Besar’ sebagai satu pendekatan politik PH menghadapi PRU15.

Namun, beliau berkata, kefahaman yang tepat berhubung pendekatan ‘Khemah Besar’ yang dianjurkan Amanah itu memerlukan satu perbincangan bermakna diadakan.

“Amanah ingin mengulangi penegasan bahawa ‘Khemah Besar’ yang dimaksudkan adalah soal penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang bagi menghadapi PRU15.

“Pendekatan ‘Khemah Besar’ tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan sama ada Umno, PPBM (Bersatu) atau PAS,” katanya.

Jelas Ahli Parlimen Kota Raja itu, mustahil PH akan bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas telah mengkhianati amanah dan mandat rakyat.

“Peru ditegaskan bahawa golongan pengkhianat adalah mereka yang telah melompat untuk bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) atas sebab tawaran-tawaran yang dibuat pada ketika itu.

“Justeru, tidak wajar kita menyamakan kumpulan yang telah melompat dengan kumpulan yang tidak melompat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, adalah tidak wajar sekiranya melabelkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai pengkhianat susulan pengkhianatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu.

“Sepertimana tidak wajar kita anggap PKR sebagai parti pengkhianat atas sebab Timbalan Presidennya dan belasan Ahli Parlimennya melompat,” katanya.

Mohamad berkata, sebagai parti politik yang ingin menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat dengan mengusahakan kemenangan dalam PRU15, persoalan menyatukan pembangkang adalah amat perlu.

“Ke arah ini Amanah akan berusaha memperbanyakkan kawan demi menghadapi lawan yang sama iaitu BN dan juga PN.

“Bagi yang membuat keputusan bahawa PRU15 tidak akan dimenangi, usaha sebegini sememangnya tidak perfu. Usaha untuk kalah adalah jauh lebih mudah dari berjuang untuk menang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menolak sebarang cadangan supaya PKR dan PH menggunakan pendekatan khemah besar pada PRU15.

Rafizi berkata, sudah tiba masanya PKR bekerja bermula dari bawah bagi memenangi hati pengundi daripada terus berunding dengan parti lain untuk kembali ke Putrajaya.

Katanya, PKR dan PH harus belajar daripada pengkhianatan yang berlaku dua tahun lalu, dipercayai merujuk kepada Langkah Sheraton apabila gabungan itu ditikam oleh parti komponennya, iaitu Bersatu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here