Ramadan fasa pengampunan, banyakkan berdoa

0
2
Masyarakat Islam hadir ke Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menunaikan solat Jumaat ketika tinjauan Malaysiapost hari ini. Difahamkan hanya 300 orang sahaja dibenarkan oleh petugas-petugas masjid. Kerajaan membenarkan solat di masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri ketika pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

UMAT Islam di seluruh dunia sudah mula memasuki fasa kedua Ramadan Mubarak kali ini iaitu fasa pengampunan. Seperti yang kita maklum bahawa penghulu segala bulan Islam terdapat padanya rahmat, pengampunan serta pembebasan dari api neraka.

Ramadan bulan yang mulia memiliki banyak keistimewaan dengan pelbagai laluan disediakan oleh Allah SWT untuk memberikan pengampunan kepada hamba-hamba-Nya. Selain memohon pengampunan daripada Allah SWT, umat Islam secara tidak langsung boleh menggunakan cara lain untuk melipatgandakan pahala mereka antaranya memberi makan berbuka puasa.

Seperti sabda Rasulullah SAW daripada Zayd bin Khalid al-Juhani yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi makan berbuka kepada seorang yang puasa adalah baginya seumpama pahala orang berpuasa tanpa kurang sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis Hasan Sahih Riwayat At-Tirmizi)

Hadis ini menjelaskan kelebihan memberi makanan kepada seorang yang berpuasa untuk berbuka iaitu diberikan pahala yang sama seperti orang yang berpuasa. Hal ini kerana seorang yang berpuasa berhak diberikan penghormatan kerana mereka berlapar dan dahaga kerana Allah SWT.

Allah yang membalas pahalanya dengan cara yang dikehendaki oleh-Nya. Dialah dalam kalangan hamba-hamba Allah yang bertindak semata-mata kerana Allah dan memperoleh pembalasan pahala yang setimpal.

Menurut Imam Al-Tabari sebagaimana dinukilkan oleh Ibnu Battal, hadis ini mengandungi fiqh pengajaran iaitu sesiapa yang membantu seorang mukmin melakukan amalan kebajikan maka bagi yang membantu pahalanya sama seperti mana orang yang melakukannya.

Maka hadis tersebut mengandungi gesaan membantu dan menolong golongan yang melakukan ketaatan bagi menyempurnakan ketaatannya kepada Allah.

Inilah juga cara menggandakan pahala puasa sepanjang Ramadan. Seseorang yang berpuasa telah mendapat pahala apabila berpuasa tetapi apabila dikongsikan makanan berbuka untuk dinikmati juga oleh orang lain berpuasa maka bertambah lagi pahalanya.

Gesaan memberi makan berbuka juga terbuka sama ada diberikan makanan berbuka atas nama hadiah kepada rakan-rakan yang juga berkemampuan atau diberikan makanan berbuka kepada golongan yang tidak berkemampuan atas nama sedekah atau sumbangan.

Namun perlu diambil perhatian, sekiranya ia berupa hadiah, maka akan menambahkan lagi hubungan kasih sayang sesama mukmin yang bersaudara.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Saling memberi hadiahlah oleh kamu pasti kamu berkasih sayang”. (Hadis Hasan riwayat Bukhari dalam Adab al-Mufrad dan Baihaqi).

Manakala, sedekah sebagai tanda simpati dan kasihan belas kepada golongan yang kurang bernasib baik maka ia menepati gesaan Nabi Muhammad SAW untuk membantu golongan susah atau fakir miskin.

Seperti mana hadis Baginda yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berada pada usaha menunaikan hajat keperluan saudaranya adalah Allah menunaikan hajat keperluannya. Dan sesiapa yang melepaskan daripada seorang muslim satu rasa dukacita, Allah buka daripada dirinya satu dukacita daripada dukacita-dukacita di hari Kiamat.” (Hadis Disepakati oleh Bukhari dan Muslim)

Bayangkan betapa kegembiraan seorang miskin apabila mampu berbuka dengan makanan apatah lagi jika makanan itu lebih baik daripada apa yang dinikmati sebelum ini.

Betapa bersyukurnya seorang yang terlepas dukacita di kala mahu berbuka apabila ada yang menghulurkan makanan buat dirinya yang berpuasa dan anak-anak yang kelaparan.

Demikianlah Islam mendidik jiwa berkebajikan dalam diri seorang yang berpuasa. Ia menepati gesaan Allah yang menggalakkan hamba-Nya terus melakukan kebajikan, mudah-mudahan mereka yang melaksanakannya akan beroleh kejayaan selepas berhadapan kesukaran dalam surah al-Hajj ayat 77.

Allah dan Rasul-Nya tidak pernah menetapkan jumlah makanan yang mahu disedekahkan kepada mereka yang berbuka puasa sebaik sahaja matahari terbenam.

Dalam satu hadis bertaraf lemah yang lain diriwayatkan Salman al-Farisi disebut, meskipun makanan berbuka itu berupa susu bercampur air atau sebiji kurma atau seteguk air. Maka ia bukannya perkara yang sukar untuk berkongsi sebiji kurma mahupun seteguk minuman.

Begitulah rahmat Allah SWT kepada hamba-Nya untuk berbuat kebajikan walau dengan sekecil-kecil pemberian. Kebajikan seumpama ini mampu dilakukan oleh orang berada mahupun orang yang miskin sesama mereka.

Berada di fasa pengampunan ini, senjata paling utama ialah memanjatkan sebanyak mungkin doa. Selaku muslim, tiada senjata paling utama untuk tujuan memohon pengampunan melainkan menadah tangan kepada Yang Maha Esa lebih-lebih lagi doa hamba-hamba yang berpuasa.

Seperti dalam surah Al-Baqarah, ayat 186 Allah menyatakan: “Dan apabila bertanya kepadamu oleh para hamba-Ku tentang diri-Ku maka sesungguhnya Aku sangat dekat. Aku menyahut doa orang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Justeru, hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan beriman dengan-Ku mudah-mudahan mereka mendapat bimbingan”.

Ayat ini mengandungi seruan kepada hamba-hamba Allah untuk memohon apa sahaja hajat dan keperluan kepada Maha Pencipta. Ayat ini diturunkan seiring dan di pertengahan ayat-ayat al-Quran yang berbicara tentang ibadat puasa sebagai isyarat bahawa selayaknya untuk orang berpuasa memperbanyakkan doa mereka.

Hal ini kerana pada saat seseorang itu berpuasa, dia menjadi hamba Allah yang sangat rapat dengan Tuhan-Nya. Maka itulah suasana terbaik untuk seorang itu berdoa kerana kaedah berdoa ialah pada saat melakukan ibadat yang menjadikan hamba itu paling hampir dengan Tuhannya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tiga yang tidak ditolak doa mereka iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi”. (Hadis riwayat Ahmad dan dinilai sahih oleh Sheikh Ahmad Syakir)

Bagi golongan pemimpin pula, yang adil akan melakukan pelbagai kebajikan dan ketaatan untuk kebaikan rakyatnya. Keadilannya menjadikan rakyat hidup bahagia dan gembira. Itulah ibadat bagi dirinya, maka doa pemimpin yang beribadat kepada Allah SWT dengan pelbagai kebajikan dan keadilan ini sentiasa diterima Yang Maha Adil.

Tidak ketinggalan juga orang dizalimi harta dan maruahnya dengan seluruh zahir batinnya sangat bergantung kepada Allah SWT untuk melepaskan dirinya daripada kezaliman makhluk, justeru, itulah ibadat dirinya kepada Allah. Maka doa hamba yang sebegini keadaannya diterima oleh Allah SWT.

(Penulis merupakan Penasihat Nadwah Ilmuwan Muslim Malaysia)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here