‘Tak masuk akal tuduh saya lindungi Siti Bainun’ – Zahid

0
3
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tampil menafikan dakwaan kononnya beliau melindungi individu yang mendera remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down, Bella.

Malah, Presiden Umno itu menegaskan, terdapat dakwaan tidak berasas kononnya beliau menyediakan pasukan peguam bela kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahmad Razali.

“Tetapi saya berasa kesal apabila diberitahu tiba-tiba ada pihak cuba mengaitkan saya dengan kes tersebut.

“Menuduh saya cuba melindungi tertuduh dengan mengaitkan tertuduh memiliki 10 peguam bela kerana saya.

“Maka terpaksalah saya akui saya pernah membantu ramai individu sepanjang penglibatan dalam politik,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

BACA LAGI: Tuduhan ke atas Siti Bainun tiada kaitan ‘penderaan’ – peguam

Sejak beberapa hari lalu, gambar Siti Bainun bertemu Ahmad Zahid dipercayai beberapa tahun dulu, tular di media sosial.

Pelbagai versi cerita timbul yang mengaitkan Siti Bainun dengan Ahmad Zahid sekeluarga.

Mengulas mengenainya, Ahmad Zahid berkata, pelbagai spekulasi dan dakwaan tidak berasas tidak boleh diukur daripada gambar kerana dulu beliau seorang pemimpin negara yang setiap hari berjumpa dengan ramai orang.

Malah, Ahmad Zahid menegaskan, beliau tidak pernah melindungi penjenayah.

“Termasuk didatangi mereka yang meminta bantuan dan sumbangan kewangan untuk tujuan kebajikan.

“Namun saya sama sekali tidak akan melindungi sesiapa saja antara mereka itu jika didakwa terlibat dalam jenayah.

“Hanya dengan mengaitkan gambar saya dengan tertuduh juga tidak berasas, sebagai seorang pemimpin mana mungkin saya menolak permintaan sesiapa sahaja untuk bergambar,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menafikan dakwaan cuba mempengaruhi mahkamah dalam kes perbicaraan Bella.

“Biarlah mahkamah yang menentukan kebenaran melalui proses perbicaraan yang adil dan saksama.

“Dakwaan saya cuba mempengaruhi mahkamah dalam perbicaraan kes Bella juga tidak masuk akal.

“Bagaimana saya boleh melakukannya walhal yang menuduh juga tentu tahu saya tiada sebarang kuasa berbuat demikian.

“Saya tidak berada dalam kerajaan untuk menekan pihak pendakwaan seperti yang dilakukan kerajaan 22 bulan,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, pihak yang sedang gigih berusaha untuk memfitnah beliau sekali lagi demi politik itu, supaya berhenti.

“Bulan Ramadan yang mulia ini tidak sepatutnya dicemari dengan nilai-nilai kebatilan seperti itu.

“Menjelang PRU-15 janganlah diulangi politik fitnah dan kebencian seperti PRU-14 kerana akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.

“Jika benar saya mempunyai keupayaan seperti itu bukankah lebih baik saya ‘melindungi’ kes saya,” katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, sebagai insan tentunya beliau juga mengharapkan keadilan buat Bella dapat ditegakkan.

“Terlalu banyak insiden menyayat hati dilaporkan dalam kes tersebut dan pastinya semua mahukan kebenaran.

“Saya jelaskan di sini, jangan kita terlalu mudah mempercayai sesuatu tuduhan dan dakyah yang dibawa.

“Kaji dan selidiki dahulu setiap berita dan cerita yang disebarkan, jika malas mahu mencari kebenaran, jangan pula kita rajin menyebarkan kepalsuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here