Shafee tawar pro bono kepada Sam Ka Ting rayu Mahkamah Rayuan

0
2

PEGUAM Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menawarkan diri secara percuma untuk mewakili Sam Ke Ting dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan.

“Saya menawarkan diri untuk membantu wanita ini secara pro bono kerana saya merasakan dia perlu dibela.

“Saya juga merasakan rayuannya ke Mahkamah Rayuan perlu didengar dengan segera,” katanya dipetik The Star.

Sam, 27, telah dibebaskan oleh Mahkamah Majistret, tetapi keputusan ini telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada Rabu lalu.

Dia juga dinafikan ikat jamin dan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu kebenaran untuk rayuan.

Shafee melahirkan harapan  supaya Sam juga akan diberikan jaminan.

“Jika ikat jamin diberikan, dia mempunyai prospek yang lebih baik untuk menyediakan rayuannya bersama peguamnya,” katanya.

Shafee juga menegaskan tindakan dia ini dapat menyampaikan mesej mengenai keadilan tanpa kaitan dengan kaum atau agama Sam dan lapan remaja yang meninggal dunia itu.

Selain Shafee, MCA dan DAP juga menawarkan bantuan guaman kepada Sam.

Kelmarin, wanita yang bekerja sebagai kerani itu sudah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi. 

Rayuan itu membabitkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu yang menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak.

Peguamnya, Muhammad Faizal Mokhtar berkata, notis usul kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman sudah difailkan menerusi sistem e-filing mahkamah.

Dalam tragedi berdarah yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017, lapan remaja menaiki basikal lajak terkorban dengan empat parah manakala empat lagi turut tercedera dirempuh kereta suspek.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here