“DOAKAN untuk semua rakyat (Palestin) yang ditindas. Ramadan yang berbeza untuk rakyat kita dan mereka walaupun berkongsi langit yang sama,” kata Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut Ahli Parlimen Muar itu, serangan pihak berkuasa Israel terhadap rakyat Palestin yang berlaku hari ini sudah mencederakan sekurang-kurangnya 59 penduduk Palestin seperti dilaporkan pihak Bulan Sabit Merah Palestin.
“Menerima berita yang buruk dari tanah Palestin. Pihak berkuasa Israel telah sekali lagi melakukan serangan dan tindakan keras terhadap orang awam di kawasan Masjid Al Aqsa.
“Menurut Palestine Red Crescent Society, 59 rakyat Palestin telah cedera diserang tentera Israel. Mereka juga menghalang ambulans dari masuk mengambil mangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Syed Saddiq berkata, beliau turut menerima video kejadian yang berlaku di dalam Masjid Al-Aqsa, namun tidak sampai hati mahu dikongsikan kerana melibatkan senjata api dan keganasan.
“Doakan semua selamat dari jauh,” katanya. – Malaysiapost

