Wang susut dalam akaun selepas isi pautan cari pekerjaan

0
2

JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur menerima laporan daripada seorang wanita mendakwa wang dari akaun banknya dikeluarkan  tanpa kebenaran selepas mengisi maklumat peribadi di satu pautan mencari pekerjaan.

Ketua JSJK Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Isahak, berkata wanita berusia 32 tahun yang juga seorang jurujual di sebuah syarikat swasta mendakwa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp dari nombor tidak dikenali yang menawarkan pekerjaan secara dalam talian pada Selasa lalu.

“Percaya dengan tawaran pekerjaan tersebut, mangsa telah mendaftar melalui pautan yang diberikan dan telah mengisi maklumat peribadi serta perbankan untuk tujuan pembayaran pendaftaran.

“Pada hari sama, mangsa telah menerima notifikasi pesanan ringkas daripada bank dan telah dimaklumkan terdapat pengurangan wang sebanyak RM55,250 di dalam akaun bank milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis semalam dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana kesalahan melakukan capaian tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan atau memudahkan kesalahan lanjut.

“Modus operandi menggunakan paltform carian kerja untuk mendapatkan butiran perbankan mangsa dengan cara yang tidak sah ini adalah trend terkini yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk membuat pindahan wang melalui akaun mangsa tanpa kebenaran,” katanya.

Menurutnya, bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat turun aplikasi yang tidak berkaitan dan tidak mudah mendedahkan butir-butir perbankan kepada pihak ketiga ataupun di dalam sebarang aplikasi daripada pautan mencurigakan.

“Jika mempunyai sebarang maklumat jenayah atau aktiviti mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 dan CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/1599.

“Atau WhatsApp CCID infoline di talian 013-2111222, semakmule.rmp.gov.my atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here