JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) memohon orang ramai membantu memberikan maklumat bagi mengesan dua lelaki yang dikehendaki dalam dua kes berasingan untuk membantu siasatan kes dan perbicaraan kes berkaitan Akta Imigresen.
Dalam kenyataan hari ini, JIM memohon bantuan mengesan seorang lelaki warganegara Malaysia bernama Ng Kok Meng, 46, yang alamat terakhirnya adalah di 25, Jalan Kurau 6, Sungai Abong, 84000 Muar, Johor Darul Takzim.
“Kok Meng dikehendaki bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Mohd Faizal Bustami, di talian 03-88801338 / 1330 pada waktu pejabat dan Bilik Gerakan 03-88801555 selepas waktu pejabat.
Sementara itu, seorang lagi yang dikehendaki adalah Teo Chi Yih, 36, yang alamat terakhirnya adalah di No 2-1 & 2-2, Jalan PJU 5/20C, The Strand, Kota Damansara bagi tujuan perbicaraan di Mahkamah Sesyen Khas Pati Semenyih, Selangor berhubung satu kes pendakwaan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dipohon supaya dapat menghubungi terus Pegawai Penyiasat Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Arif Azanor bin Tompang @ Abd Razak, di talian 03-88801338 pada waktu pejabat dan Bilik Gerakan 03-88801555 selepas waktu pejabat,” katanya. – Malaysiapost

