KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang didakwa ‘pusing cerita’ berkenaan debat Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, beliau telah bertemu Fahmi pada minggu lalu dan Pengarah Komunikasi PKR itu bersetuju mengadakan debat berkenaan selepas Aidilfitri.
“Saya ada jumpa YB (Yang Berhormat) Fahmi Fadzil minggu lepas untuk bincang berkenaan debat Najib-Anwar. Dalam perjumpaan itu, dia setuju untuk buat debat selepas raya, dan dia kata minggu kedua atau ketiga pun sesuai.
“Namun semalam dia kata kepada media bahawa dia dan PKR tidak setuju pula debat selepas raya. Apa punya pusing orang PKR ini. Bulan puasa pun nak sembang. Bulan-bulan puasa ni tak baik menipu, YB,” katanya dalam hantaran Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, kedua-dua tokoh politik itu bersetuju berdebat berhubung isu Sapura Energy Berhad (SEB), namun belum mendapat tarikh yang sesuai.
Sebelum ini, Anwar menyatakan kesediaannya berdepan dan berdebat dengan Najib mengenai isu kewangan SEB yang merupakan syarikat perkhidmatan pelantar minyak bersepadu Malaysia. – Malaysiapost

