Dunlopillo lancar tilam Mesra Muslim pertama di Malaysia

0
2

DUNLOPILLO (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan tilam Mesra Muslim pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Orthorest Klasik.

Kelebihan tilam tersebut adalah memberikan perlindungan kepada tubuh dan tulang belakang dengan menggunakan formula antioksidan teh hijau.

Menurut Presiden Dunlopillo Asia, Alfonso Borja Solans Garcia, berkata teknologi dan formula yang digunapakai dalam membangunkan produk tilam Orthorest Klasik ini telah membuka satu peluang pasaran yang baharu buat Dunlopillo Malaysia.

“Penekanan kepada kualiti produk, kebersihan dan keperluan pematuhan proses pengilangan yang baik telah memberikan kami satu kesedaran bahawa elemen ini amatlah dititikberatkan oleh pengguna Muslim.

“Kami juga tidak menggunakan sama sekali bahan-bahan yang dikitar semula ataupun bahan yang merbahaya seperti Rebond Foam yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

“Melalui rujukan dan pengesahan dengan agensi yang berkaitan, kami mendapati tilam Orthorest Klasik adalah bebas dari perkara terlarang dan amatlah sesuai untuk pasaran pengguna Muslim,” katanya.

Terdahulu, majlis pelancaran tilam tersebut disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Putrajaya, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Alfonso berkata, pihaknya memutuskan untuk mengeluarkan tilam Mesra Muslim pertama di Malaysia melalui usahasama dengan Madeena Bedding Industries (M) Sdn Bhd, iaitu syarikat tempatan yang mempunyai kepakaran dalam pengeluaran tilam dan juga pemasaran produk Muslim.

“Kami juga melihat dari sudut perniagaan dan bukan hanya berpandukan kepada sentimen.

“Kami juga tidak sama sekali meletakkan agama sebagai motivasi untuk melakukan inisiatif ini. Di Dunlopillo, kami amat peka kepada keadaan persekitaran perniagaan dan untuk mengelakkan sebarang salah faham, kami sentiasa menggerakkan perniagaan kami berpandukan kepada data dan penyelidikan yang teliti.

“Kami percaya tilam Orthorest Klasik ini akan memberikan manfaat dan pilihan yang terbaik buat pengguna Muslim di Malaysia yang merupakan kumpulan pengguna yang mewakili lebih daripada 60% pecahan penduduk mengikut populasi” katanya.

Pendekatan Mesra Muslim menggariskan keperluan untuk sesuatu produk yang dihasilkan mengikut garis panduan dan syariat Islam.

Pengeluar juga harus memastikan produk yang dihasilkan bebas dari perkara Syubhah dan tiada mengandungi bahan-bahan terlarang seperti Rebond Foam yang boleh memudaratkan kesihatan.

Disamping itu juga pengeluar harus memastikan penggunaan bahan berkualiti, bersih dan suci melalui amalan pengilangan yang baik (GMP).

Tambahnya, pendekatan ini akan menjadi teras dan garis panduan utama buat syarikat pengeluar tilam Orthorest Klasik, Madeena Bedding Industries (M) Sdn Bhd yang menjalinkan usahasama dengan Dunlopillo pada majlis pelancaran tilam Orthorest Klasik melalui memorandum persefahaman yang akan ditandatangani di antara kedua belah pihak pada majlis ini.

“Kami percaya jalinan usahasama perniagaan ini akan menghasilkan produk yang berkualiti dan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Kami juga berasa bangga untuk mengeluarkan tilam Orthorest Klasik, tilam Mesra Muslim pertama di Malaysia.

“Kami percaya usahasama ini akan membolehkan Dunlopillo untuk meneroka lebih lanjut potensi pasaran produk Mesra Muslim disamping memberikan pilihan kepada pengguna di dalam segmen ini, seperti yang dinyatakan oleh Naib Presiden Dunlopillo Asia, Cheng Kai Hin,” katanya.

Produk Orthorest Klasik yang dilancarkan pada acara ini didatangkan dalam model ‘Amira Deluxe’, ‘Amira Premium’ dan ‘Amira Luxury’ yang diperkayakan dengan ekstrak teh hijau dan sokongan penjagaan tulang belakang.

Model tilam ini dipasarkan pada harga yang amat berpatutan bermula dari RM1699 pada saiz Queen sehingga RM2999 sahaja. Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman web www.orthorestklasik.com dan juga platfom media sosial Orthorest Klasik (Facebook & Instagram). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here