KENYATAAN Rafizi Ramli yang menggesa calon-calon dalam pemilihan PKR untuk menyatakan hala tuju parti, sebagai tidak menepati adab berorganisasi dan konsep kerja secara berpasukan.
Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman berkata Fasal 1.2 Perlembagaan PKR jelas menyatakan Kongres Nasional adalah badan tertinggi dalam parti dengan kuasa untuk menentukan perjalanan dan arah tuju parti.
Katanya, ia bermaksud hala tuju parti perlu diputus secara berjemaah dalam adab kerja berpasukan oleh badan tertinggi dalam parti iaitu Kongres Nasional.
“Di sinilah peri pentingnya peranan setiap pimpinan untuk menyumbang tenaga dan idea demi memantapkan agenda perjuangan parti secara bersama.
“Sesungguhnya organisasi parti tidak boleh dipacu dengan agenda peribadi mahupun cara kerja segelintir mereka yang tidak memahami konsep kerja secara berjemaah.
“Justeru itu saya mencadangkan kepada Rafizi untuk kembali menginsafi nilai teras pemahaman kerja secara berpasukan dalam adab berorganisasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam Rafizi menggesa calon yang bertanding dalam pemilihan PKR nanti, khususnya pencabarnya bagi jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, untuk menjelaskan pendirian berkenaan hala tuju parti dan strategi serta gerak kerja bagi berdepan Pilihan Raya Umum akan datang.
Rafizi berkata dua perkara itu perlu dijadikan kayu ukur untuk anggota parti membuat pilihan nanti. – Malaysiapost

