MENTERI Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah harus mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan menguruskan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata apa yang berlaku di Dubai itu adalah disebabkan kegagalan Saifuddin memimpin dasar luar Malaysia yang aktif, bebas dan progresif serta memperjuangkan kepentingan antarabangsa negara secara strategik.
Katanya, meletakkan sepenuhnya kesalahan berkenaan kepada Diplomat negara adalah tindakan yang sangat tidak profesional.
“Beliau (Saifuddin) lupa bahawa, beliaulah yang memimpin Wisma Putra. Malaysia nyata memerlukan kepimpinan baru yang lebih kompeten di Kementerian Luar Negeri.
“Prestasi semasa Menteri Luar tidak sesuai dengan pengalaman, kedudukan dan kepentingan global Malaysia.
“Apalagi bila Perdana Menteri kita sendiri diperlakukan dengan cara yang tidak selayak dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin terpenting Malaysia,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, apa yang berlaku dalam lawatan Perdana Menteri ke Dubai itu adalah sesuatu yang sangat dikesali.
Katanya, Perdana Menteri tidak wajar melalui apa yang beliau lalui dalam lawatan sulungnya ke negara Timur Tengah itu.
“Wisma Putra gagal memastikan beliau diberikan penghormatan sesuai dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin utama negara dan pemimpin penting sebuah negara Islam.
“UAE adalah negara yang sangat meraikan tetamu dan sudah pasti, jika kita menggunakan segala sumber dan kekuatan jaringan persahabatan kita dengan mereka, perkara yang berlaku itu tidak akan terjadi,” katanya.
Menurut Mohamed Khaled, kegagalan Wisma Putra merancang dan mengurus lawatan sepenting itu adalah sangat memalukan.
“Bukan sahaja kegagalan dari segi protokol, malahan tiadanya rencana konkrit semasa lawatan Perdana Menteri menunjukkan betapa gagalnya Wisma Putra dalam merencana kepentingan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan Duta Besar Malaysia ke UAE dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai telah dipanggil pulang atas kegagalan menyelaras urusan lawatan rasmi Perdana Menteri pada 29 hingga 31 Mac lalu.
Tindakan sedemikian diambil kerana kedua-dua ketua perwakilan tersebut telah gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan Perdana Menteri sepatutnya berdasarkan Prosedur Operasi Tetap (SOP) bagi lawatan peringkat tinggi negara di luar negeri, terutamanya semasa ketibaan di Dubai. – Malaysiapost

