Najib jawab pertanyaan adiknya, kerajaan wajar bantu Sapura

0
2

DATUK Seri Najib Razak mengakui memiliki pengalaman membantu menyelamatkan tiga syarikat gergasi daripada masalah kewangan ketika menjadi Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri keenam itu mengakui bukan mudah untuk kerajaan memutuskan untuk masuk campur membantu memulihkan kembali struktur kewangan sesebuah syarikat.

“Ianya bukan mudah untuk saya cadang atau laksana bantuan kerajaan kepada mana-mana syarikat di Malaysia.

“Seingat saya, cuma tiga buah syarikat dalam krisis yang saya pernah minta campur tangan kerajaan untuk membantu sebab saya mempertimbangkan dengan teliti apa kebaikannya bagi negara dengan kos menyelamatkannya serta peluang untuk ianya dipulihkan.

“Sebab saya bukan kaki bailout kroni seperti PM4 yang terkenal dengan bail-out termasuk bail-out anak sendiri oleh MISC/Petronas pada tahun 1998,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan adiknya, Datuk Nazir Razak yang disiarkan dalam berita Astro Awani berkenaan situasi yang dihadapi Sapura Synergy ketika ini.

“Kita kena tengok daripada segi rasionalnya. Jika kita ingin menyelamatkan Sapura, apakah faedah dan kosnya kepada negara?” tanya Nazir.

Dalam laporan berita itu, Nazir juga melahiran kekecewaannya terhadap syarikat itu yang sedang bergelut mengatasi masalah kewangan yang semakin meruncing.

“Saya sedih dengan situasi melibatkan Sapura kerana ia antara syarikat perkhidmatan minyak dan gas yang terbesar di dunia dan milik bumiputera,” kata Nazir

Mengulas mengenainya, Najib berkata, pertanyaan Nazir itu ada benarnya kerana kerajaan perlu meneliti kebaikan dan keburukan sebelum membantu Sapura.

“Benar juga pertanyaan dia ni. Jangan ambil kira milik bumiputera atau bukan bumiputera tapi berapa banyak lagi syarikat milik Malaysia atau milik GLC yang merupakan antara syarikat terbesar di dunia dalam mana-mana sektor?

“Terutamanya bagi sektor amat penting seperti kejuruteraan dan kepakaran minyak dan gas,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut memaklumkan syarikat pertama yang dibenarkan campur tangan kerajaan ketika menjadi Perdana Menteri ialah Silterra.

“Pertama ialah Silterra dan kami berjaya memulihkan syarikat semikonduktor itu yang dulunya perlu bail-out berkali-kali sehingga RM5 bilion pada masa PM4 – sehingga syarikat tersebut mencatat keuntungan berturut 3 hingga 4 tahun sebelum PRU14.

“Kedua ialah syarikat penerbangan nasional MAS sebab ianya amat penting bagi sektor pelancongan negara bernilai lebih RM120 bilion setahun, demi maruah negara dan juga perhubungan udara dalam Malaysia.

“Ketiga ialah Proton pada tahun 2016 dan ini juga ternyata berjaya setelah Proton kembali untung, kembali catat penjualan yang semakin mencanak dan kembali mengeksport kereta ke negara asing,” katanya.

Najib juga konsisten dengan cadangannya agar kerajaan campur tangan untuk membantu menyelamatkan Sapura.

Menurutnya, membantu memulihkan sebuah syarikat besar bukan tidak pernah berlaku, malah negara Amerika Syarikat pernah bail-out Citigroup, AIG, General Motors dan Chrysler pada tahun 2008.

“Selepas beberapa tahun kemudian, kerajaan Amerika Syarikat berjaya mengaut keuntungan berpuluh bilion dollar AS daripada bail-out tersebut selepas pasaran memulih.

” Pada pendapat saya, peluang bagi Sapura memulih adalah baik memandangkan syarikat itu memiliki aset khusus yang lebih baru dan lebih canggih berbanding yang lain, sudah ada kontrak dalam tangan bernilai sebanyak RM7 bilion dan permintaan bagi sektor ini adalah sangat tinggi memandangkan harga minyak dan gas kini berada pada tahap paling tinggi dalam sejarah.

“Sebab masalah yang menimpa Sapura bukanlah akibat salah urus tadbir ataupun penyelewengan tetapi lebih kepada krisis harga minyak dunia yang bermula tahun 2014 hingga 2018 dan seterusnya pandemik yang bermula tahun 2020.

“Kebanyakan syarikat-syarikat lain dalam sektor ini dalam dan luar negara juga menerima kesan yang sama dengan Sapura akibat keadaan ini.

“Kini keadaan telah bertambah baik dan kita cuma perlu selesaikan masalah modal kerja dan keyakinan bank, pelabur dan customer terhadap Sapura,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here